Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, akan kembali berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas keputusan menamatkan peminjamannya dibuat minggu lalu.
Shuhaily kembali ke pasukan asal
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan, Shuhaily merupakan pegawai polis yang sebelum ini dipinjamkan untuk berkhidmat sebagai Ketua Pengarah AKPS pada 1 Julai tahun lalu.
“Beliau merupakan pegawai polis yang dipinjamkan ke AKPS… Jadi, kita mengembalikannya kepada pasukan polis,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri satu majlis.

Shuhaily yang juga bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pada 21 Oktober atas pertuduhan menyerang dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada bulan lalu.
Tempoh peminjaman dirujuk kepada AGC
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Ismail menambah, tempoh perkhidmatan Shuhaily di AKPS telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mendapatkan nasihat perundangan serta Suruhanjaya Pasukan Polis bagi semakan peraturan.
Menurut Khalid, pelantikan Shuhaily selama dua tahun sebagai ketua agensi sempadan itu merupakan peminjaman rasmi daripada pasukan polis yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Foto: Berita Harian
Beliau turut menjelaskan bahawa sebarang tindakan untuk menamatkan peminjaman tersebut memerlukan perkenan baginda.
Sumber: Bernama






