Siapa dalang utama musnahkan Ramsar Tasik Bera?

LocalEnvironment
20 Sep 2026 • 9:45 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Siapa dalang utama musnahkan Ramsar Tasik Bera?

BERA – Pihak berkuasa digesa menyiasat jenayah alam sekitar dilakukan pihak tertentu hingga boleh mengakibatkan Tasik Bera hampir kehilangan status sebagai Tapak Lembap Berkepentingan Antarabangsa (Ramsar) apabila ditanam kelapa sawit, getah dan sarang burung walit.

Dakwaan mengatakan, penanaman itu dilakukan di hampir seluruh kawasan Ramsar pertama negara tersebut dan kurang daripada separuh kawasan hutannya yang masih bertahan.

Pencerobohan itu mencetuskan persoalan sama ada pengiktirafan yang digazetkan Konvensyen Ramsar di bawah UNESCO itu masih relevan atau sebaliknya apabila bakal dipenuhi dengan ta­naman kontan tersebut.

Difahamkan, Jabatan Perhutanan turut membuat penanaman semula di kawasan yang telah ditebang dan diteroka dipercayai untuk tanaman sawit bagi mengembalikan keasliannya.

Di Malaysia terdapat tujuh Ramsar dengan Tasik Bera diwartakan pada 10 Mac 1995. Ia dilindungi di bawah undang-undang perhutanan, taman negeri dan tanah sama ada sebagai hutan simpanan kekal, taman ne­geri atau kawasan perlindungan tanah lembap.

Ramsar Tasik Bera berkeluasan 31,255 hektar sepatutnya dipelihara alam sekitarnya, dan mempunyai zon penampan yang cukup mengelilingi tasik.

Menurut sumber, pemerhatian pihaknya mendapati hampir 90 peratus kawasan telah diteroka dengan pokok telah ditebang dan diganti dengan ladang sawit serta getah.

Image from: Siapa dalang utama musnahkan Ramsar Tasik Bera?
Pemandangan udara memaparkan sebahagian daripada kawasan Ramsar Tasik Bera sudah digondolkan untuk diganti dengan kelapa sawit, pokok getah dan sarang burung walit.

Katanya, pada masa ini hanya kawasan di sebelah Bera 3 dan Bera 4 sahaja masih ada baki hutan yang tersimpan, namun seolah-seolah menunggu masa untuk ditukarkan kepada sawit

“Banyak sudah amaran diberikan, namun ia tidak pernah dihiraukan dan penerokaan terus berlaku.

“Kawasan di Serting, Triang, Tembangau, Pos Iskandar habis diteroka. Ada yang tinggal di antara kawasan Bera 3 dan 4 kerana ia kawasan berpaya,” katanya.

Menurut sumber itu, penanaman sawit dilakukan secara ko­mersial, malah pihak tersebut dipercayai turut mengupah pekerja-pekerja asing untuk be­kerja di ladang-ladang sawit.

Katanya, ada pihak mendakwa kawasan kelapa sawit berkenaan dipajak oleh individu tertentu tetapi perkara ini perlu disiasat.

Sementara itu, seorang bekas penguat kuasa berkata, pencerobohan itu telah lama berlarutan dengan mempergunakan Orang Asli.

“Bila ada hal melibatkan Orang Asli, penguatkuasaan sukar dilakukan kerana wujud sensitiviti dan pihak berkuasa hanya boleh beri amaran. Selain teroka tanah, ada dalang yang memajak dan membeli tanah daripada Orang Asli,” katanya.

Menurutnya, perkara itu terbongkar apabila tanah yang dijadikan kawasan perkuburan pada lima tahun lalu bertukar menjadi ladang yang dimiliki orang lain atau tauke.

Tambahnya, kewujudan kampung serpihan hanyalah bagi mengaburi mata orang ramai sedangkan tujuan utama sindiket ialah membuka ladang sawit lebih luas.

“Adakah Orang Asli yang tinggal di sini mampu membuka tanah ratusan ekar ini, kenapa mereka begitu menghalang pe­nguat kuasa datang untuk melakukan pemeriksaan, apakah yang mereka mahu sembunyikan,” katanya.

Sehubungan itu, dia berharap pihak berkuasa menyiasat hingga ke akar umbi bagi mengenal pasti dalang terlibat.

Dalam pada itu, Ketua Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang, Saifullah Muhammad Ali berkata, lebih 7,000 hektar Hutan Simpan Kekal Tasik Bera diteroka secara haram.

“Satu tindakan penguatkuasaan bersepadu telah dilaksanakan di Hutan Simpan Kekal Tasik Bera bermula 14 September lalu,” katanya.

The post Siapa dalang utama musnahkan Ramsar Tasik Bera? appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved