Siasat jika wujud salah guna duit Tabung Haji

LocalPolitics
14 Aug 2026 • 5:41 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Siasat jika wujud salah guna duit Tabung Haji

MELAKA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa siasatan menyeluruh dilakukan sekiranya terdapat asas dan bukti dalam laporan rasmi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang menunjukkan berlaku penyalahgunaan kuasa atau pecah amanah melibatkan Lembaga Tabung Haji.

Wakil AMK Perlis, Khalid Imran Mas Ahmad Nasruddin berkata, pihak yang bertanggungjawab perlu disiasat tanpa mengira latar belakang politik, bangsa atau agama.

Beliau turut menyeru AMK supaya menggerakkan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya terdapat asas kukuh untuk tindakan lanjut.

“Jikalau terdapat asas dan bukti daripada laporan rasmi RCI yang menunjukkan berlakunya penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah, saya mahu AMK menggerakkan laporan di seluruh badan SPRM dan PDRM supaya perkara ini disiasat secara menyeluruh.

“Saya mahu AMK secara besar-besaran buat laporan. Cari siapa yang bertanggungjawab, siapa yang bertanggungjawab melingkupkan Tabung Haji. Siasat, dakwa dan jika terbukti bersalah, tangkap dan hukum,” katanya ketika sesi perbahasan Kongres Nasional AMK di sini.

Khalid Imran turut mempersoalkan pendirian pimpinan Pas terhadap isu berkenaan dan menegaskan institusi berkaitan umat Islam perlu dipertahankan apabila amanahnya dipersoalkan.

“Saya juga ingin bertanya kepada pimpinan-pimpinan Pas, di manakah suara anda apabila amanah institusi umat Islam ini dipersoalkan? Jangan hanya menggunakan Islam sebagai slogan politik. Pertahankan juga institusi Islam apabila amanahnya perlu dipertahankan.

“Bagi kami di Keadilan, Islam dan Melayu bukan perisai untuk melindungi orang yang salah. Kalau ada kesalahan, siasat. Kalau ada bukti, dakwa. Kalau mahkamah membuktikan salah, hukum,” katanya.

Beliau berkata, institusi negara tidak seharusnya menjadi milik atau diperalatkan mana-mana parti politik dan perlu kekal berfungsi untuk kepentingan rakyat.

“Institusi negara bukan milik parti politik. Tabung Haji bukan milik UMNO. SPRM bukan milik kerajaan. Parlimen bukan milik Perdana Menteri. Mahkamah bukan milik mana-mana pihak. Semuanya milik rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyokong usaha memperkukuh reformasi institusi termasuk memastikan SPRM, badan kehakiman dan pendakwaan bebas, selain memperkasakan Parlimen serta menjamin Tabung Haji bebas daripada campur tangan politik.

“Reformasi jangan diperlahankan, integriti jangan dikompromikan, institusi jangan dipolitikkan.

“Reformasi bukan tentang siapa yang berkuasa. Reformasi ialah memastikan siapa sahaja yang berkuasa tidak boleh menyalahgunakan kuasa,” katanya. – UTUSAN

The post Siasat jika wujud salah guna duit Tabung Haji appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved