Siasatan SPRM terhadap Pengerusi IJM selesai, tiada tindakan lanjut

LocalPolitics
15 May 2026 • 10:34 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Siasatan SPRM terhadap Pengerusi IJM selesai, tiada tindakan lanjut
SPRM telah menyelesaikan siasatannya terhadap Pengerusi Bukan Eksekutif IJM dan mengklasifikasikan kes sebagai NFA. - Gambar hiasan

SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyelesaikan siasatannya terhadap Pengerusi Bukan Eksekutif IJM Corporation Bhd (IJM), Tan Sri Krishnan Tan dan mengklasifikasikan kes sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

IJM dalam kenyataan mengalu-alukan penyelesaian siasatan berkaitan tawaran pengambilalihan sukarela oleh Sunway Berhad.

Jelasnya, seperti yang diumumkan kepada Bursa Malaysia pada 24 Mac lalu, SPRM telah mengesahkan bahawa siasatan tersebut tidak melibatkan IJM sebagai sebuah entiti.

"Syarikat telah memberikan kerjasama penuh kepada SPRM sepanjang proses tersebut dan kekal komited untuk menyokong pihak berkuasa sebagaimana yang diperlukan.

"Seperti yang diumumkan sebelum ini kepada Bursa Malaysia pada 24 Mac lalu, SPRM telah mengesahkan bahawa siasatan tersebut tidak melibatkan IJM Corporation Berhad sebagai sebuah entiti.

"Dengan selesainya perkara ini, IJM akan terus mara dengan penuh tekad, memberi tumpuan kepada pelaksanaan keutamaan strategiknya serta membuka nilai portfolio merentasi perniagaan teras kumpulan," katanya pada Jumaat.

Sementara itu, Krishnan dalam kenyataan peribadi mengalu-alukan keputusan tersebut sambil menegaskan bahawa beliau sentiasa mempertahankan dirinya sebagai tidak bersalah sepanjang tempoh berkenaan.

"Siasatan dan publisiti yang diberikan telah menyebabkan kerosakan besar terhadap reputasi saya serta menjejaskan hasil sepanjang hayat perkhidmatan awam dan korporat saya.

"Ia juga memberi tekanan yang amat besar kepada keluarga, rakan-rakan serta organisasi yang saya wakili. Kepada mereka semua saya amat berterima kasih, khususnya isteri, keluarga dan sahabat handai yang sentiasa berdiri teguh bersama saya,” katanya.

Jelas Krishnan, beliau meninggalkan tempoh sukar itu dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

Februari lalu, SPRM menahan Krishnan bagi membantu siasatan berhubung kes berkaitan isu tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan serta pemilikan aset di luar negara yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 bilion.

View Original Article