Sime Darby catat untung teras RM1.55 bilion pada FY26, isytihar dividen 11 sen

LocalBusiness & Finance
27 Aug 2026 • 2:45 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sime Darby catat untung teras RM1.55 bilion pada FY26, isytihar dividen 11 sen Image from: Sime Darby catat untung teras RM1.55 bilion pada FY26, isytihar dividen 11 sen hamden27/08/2026 - 14:45 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Sime Darby Berhad mencatatkan prestasi kukuh bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (FY2026) apabila keuntungan bersih teras kumpulan meningkat 32.6% kepada RM1.55 bilion, didorong terutamanya oleh sumbangan lebih kukuh daripada bahagian motor.

 

Prestasi itu dicapai walaupun kumpulan berdepan ketidaktentuan berterusan dalam beberapa pasaran utamanya, persaingan sengit dalam sektor automotif serta permintaan lebih lembut dalam rantaian nilai sektor sumber yang memberi tekanan kepada perniagaan industri.

 

Hasil kumpulan bagaimanapun susut sedikit kepada RM69.5 bilion pada FY2026 berbanding RM70.1 bilion pada FY2025.

 

Pulangan atas ekuiti (ROE) teras pula meningkat kepada 8%, berbanding 6.2% pada tahun sebelumnya, mencerminkan peningkatan kecekapan dan prestasi operasi kumpulan.

 

Sime Darby mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM1.76 bilion bagi FY2026, lebih rendah berbanding FY2025 yang menerima manfaat daripada keuntungan sebelum cukai lebih tinggi sebanyak RM901 juta hasil pelupusan tanah Malaysia Vision Valley (MVV), berbanding RM434 juta pada FY2026.

 

Dividen 14 sen, bayar RM954 juta kepada pemegang saham

Seiring prestasi kewangan yang kukuh, Sime Darby mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 11 sen sesaham.

 

Digabungkan dengan dividen interim pertama sebanyak tiga sen sesaham, jumlah pembayaran dividen bagi FY2026 berjumlah 14 sen sesaham atau RM954 juta.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Dato’ Jeffri Salim Davidson berkata, prestasi FY2026 mencerminkan daya tahan kumpulan meskipun persekitaran operasi kekal mencabar.

 

Dalam bahagian motor, perniagaan kumpulan di China mencatatkan peningkatan, manakala jualan kenderaan elektrik (EV) di Singapura terus berkembang serta jualan keseluruhan kenderaan di Malaysia meningkat.

 

Bagi bahagian industri pula, operasi di Malaysia mendapat manfaat daripada hasil lebih tinggi hasil penghantaran projek pusat data.

 

“Portfolio dan kehadiran geografi kami yang pelbagai kekal sebagai kombinasi yang menguntungkan bagi Sime, membolehkan kami mencatatkan keputusan kukuh ketika mengharungi kitaran pasaran,” katanya.

 

Untung teras 4Q melonjak 55% kepada RM518 juta

Bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2026 (4QFY2026), keuntungan bersih teras Sime Darby melonjak 55% kepada RM518 juta, disokong peningkatan prestasi bahagian motor.

 

Bahagian motor merekodkan peningkatan keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT), disokong pendapatan dividen daripada perniagaan Malaysia Motors, jualan EV yang lebih tinggi di Singapura serta margin yang bertambah baik daripada operasi di Hong Kong, Macau dan Taiwan.

 

Bahagian industri pula mencatatkan PBIT sebanyak RM348 juta, dengan peningkatan hasil daripada penghantaran pencapaian projek pusat data di Malaysia membantu mengimbangi sumbangan lebih rendah daripada operasi di Australia serta kesan kerugian rosot nilai yang diiktiraf dalam tempoh berkenaan.

 

Sementara itu, bahagian UMW mencatatkan PBIT sebanyak RM219 juta, dengan peningkatan sumbangan keuntungan daripada Perodua membantu mengurangkan kesan prestasi lebih lemah dalam perniagaan automotif.

 

Pasaran mencabar, strategi pertumbuhan jangka panjang kekal

Melangkah ke hadapan, Sime Darby menjangkakan cabaran pasaran akan terus berlarutan.

Namun, kumpulan itu kekal memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama dengan jenama global terkemuka, memperkukuh kedudukan pasaran serta memanfaatkan portfolio perniagaan dan kehadiran geografinya yang pelbagai bagi menyokong pertumbuhan mampan dalam jangka panjang.

 

Jeffri berkata, peningkatan keuntungan bersih teras menunjukkan Sime Darby kini berada pada kedudukan operasi yang lebih kukuh selepas melalui tahun yang mencabar.

 

“Strategi kami kekal tertumpu kepada usaha membina kekuatan melalui kerjasama kukuh dengan jenama global terkemuka serta memperkukuh bahagian pasaran bagi memastikan pertumbuhan mampan dalam jangka panjang,” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved