Kobay Technology kembali untung RM49 juta pada FY26, hasil melepasi RM500 juta buat kali pertama

LocalBusiness & Finance
26 Aug 2026 • 6:28 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kobay Technology kembali untung RM49 juta pada FY26, hasil melepasi RM500 juta buat kali pertama Image from: Kobay Technology kembali untung RM49 juta pada FY26, hasil melepasi RM500 juta buat kali pertama hamden26/08/2026 - 18:28 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

GEORGETOWN 26 Ogos - Kobay Technology Berhad kembali mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM49 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (FY26), berbanding kerugian bersih RM15.2 juta pada tahun sebelumnya, didorong pertumbuhan kukuh dalam semua segmen perniagaan utamanya.

 

Pemulihan ketara itu hadir seiring pencapaian hasil tertinggi dalam sejarah kumpulan apabila Kobay merekodkan pendapatan RM531.5 juta, melonjak 55.4% daripada RM341.9 juta pada FY25.

 

Ia juga menandakan kali pertama hasil tahunan Kobay berjaya melepasi paras RM500 juta, sekali gus mengatasi rekod terdahulu RM354.3 juta yang dicatatkan pada FY22.

 

Prestasi kukuh itu disokong oleh pertumbuhan menyeluruh dalam bahagian pembuatan, pembangunan hartanah serta farmaseutikal dan penjagaan kesihatan.

 

Hasil bahagian pembuatan melonjak 68.5% kepada RM362.2 juta daripada RM214.9 juta, didorong pengembangan berterusan industri semikonduktor serta elektrik dan elektronik (E&E), khususnya permintaan terhadap teknologi berkaitan kecerdasan buatan (AI).

 

Bahagian pembangunan hartanah pula menyaksikan hasil meningkat lebih dua kali ganda atau 117.9% kepada RM49.8 juta, disokong kemajuan pengebilan daripada projek perumahan mampu milik yang sedang dibangunkan serta penjualan unit siap.

 

Sementara itu, hasil bahagian farmaseutikal dan penjagaan kesihatan meningkat 8% kepada RM82.9 juta.

 

Seiring peningkatan hasil, keuntungan sebelum cukai (PBT) kumpulan melonjak kepada RM64.5 juta pada FY26 berbanding kerugian sebelum cukai RM10.7 juta pada FY25, yang sebahagian besarnya disebabkan kerugian penjejasan nilai sekali sahaja dan bukan tunai sebanyak RM30.3 juta ke atas aset tidak ketara.

 

Dari segi segmen, PBT bahagian pembuatan meningkat 2.8 kali ganda kepada RM45.7 juta daripada RM16.3 juta, manakala bahagian pembangunan hartanah mencatatkan PBT RM5.3 juta berbanding kerugian sebelum cukai RM1.2 juta sebelum ini.

 

PBT bahagian farmaseutikal dan penjagaan kesihatan pula melonjak 5.6 kali ganda kepada RM7.7 juta daripada RM1.4 juta.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kobay Datuk Seri Koay Hean Eng berkata, FY26 menjadi tahun penting buat kumpulan apabila titik perubahan yang dijangkakan sebelum ini mula diterjemahkan kepada pertumbuhan hasil dan pemulihan keuntungan.

 

Katanya, prospek bahagian pembuatan kekal menggalakkan, disokong saluran tempahan yang sihat dan permintaan pelanggan yang kukuh, sejajar dengan perkembangan positif industri semikonduktor dan E&E.

 

“Tempahan yang diperoleh daripada sektor semikonduktor dan E&E memberikan keterlihatan hasil yang lebih baik dan dijangka menyokong prestasi bahagian tersebut dalam beberapa bulan akan datang,” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved