Untung bersih IJM naik 44% kepada RM137.4 juta bagi 1QFY27, isytihar dividen khas 10 sen

LocalBusiness & Finance
26 Aug 2026 • 6:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung bersih IJM naik 44% kepada RM137.4 juta bagi 1QFY27, isytihar dividen khas 10 sen Image from: Untung bersih IJM naik 44% kepada RM137.4 juta bagi 1QFY27, isytihar dividen khas 10 sen amree26/08/2026 - 18:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 OgosIJM Corporation Berhad mencatat kebangkitan kukuh pada suku pertama tahun kewangan 2027 dengan keuntungan bersih melonjak 43.7% kepada RM137.4 juta, sekali gus mendorong kumpulan itu mengisytiharkan dividen khas 10 sen sesaham kepada pemegang saham.

 

Prestasi memberangsangkan itu turut menyaksikan hasil meningkat 32.2% kepada RM2.29 bilion berbanding RM1.73 bilion pada suku sama tahun lalu, manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) naik 32.1% kepada RM201.8 juta.

 

Kumpulan itu berkata, pertumbuhan tersebut didorong oleh peningkatan aktiviti dalam segmen Pembinaan dan Industri serta penjualan sebidang tanah di Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP).

 

Dividen khas itu akan dibayar pada 15 Oktober 2026 kepada pemegang saham yang namanya tertera dalam Rekod Pendeposit pada 30 September 2026, selepas IJM menjual semula keseluruhan 142.4 juta saham perbendaharaan menerusi urus niaga pasaran terbuka pada 20 Ogos 2026.

 

"Langkah itu merupakan sebahagian daripada Inisiatif Merealisasikan Nilai kumpulan yang menyasarkan pengagihan RM3 bilion kepada pemegang saham dalam tempoh tiga tahun," jelas IJM dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Segmen pembinaan menjadi antara penyumbang utama apabila hasil meningkat 36.2% kepada RM1.32 bilion, manakala PBT lebih dua kali ganda kepada RM73.3 juta daripada RM34.6 juta sebelumnya.

 

IJM_DagangNews2026

 

Buku tempahan pembinaan IJM kekal kukuh pada RM14.5 bilion, dengan kira-kira RM1.8 bilion projek baharu sudah diperoleh sejak permulaan FY27, termasuk pakej pusat data (DC) berskala besar RM658 juta di Elmina Business Park serta projek dalam sektor pembuatan termaju.

 

Segmen industri pula mencatat pertumbuhan hasil 42.3% kepada RM443.8 juta dan merekodkan tempahan cerucuk pada paras tertinggi sebanyak 953,000 tan sepanjang suku tersebut, mencerminkan permintaan kukuh daripada sektor DC, perindustrian dan infrastruktur.

 

"Sementara itu, segmen hartanah mencatat hasil RM333.7 juta, meningkat 38.5%, dengan jualan hartanah belum dibilkan sebanyak kira-kira RM2.2 bilion terus memberikan keterlihatan pendapatan kepada kumpulan," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan IJM, Datuk Lee Chun Fai berkata, prestasi suku pertama memberikan permulaan yang menggalakkan kepada FY27, dengan kumpulan kekal fokus memperbaiki prestasi operasi dan melaksanakan inisiatif penciptaan nilai kepada pemegang saham.

 

Dalam perkembangan lain, IJM turut mengumumkan pelantikan Datuk Lee Teck Yuen sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah berkuat kuasa 27 Ogos 2026, menggantikan Tan Sri Krishnan Tan yang bersara selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-42 kumpulan itu. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved