amree24/08/2026 - 14:40 Stesen minyak Petronas di Ayer Keroh, Melaka. - Gambar NAIM AZIZ / DagangNews.com Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Ogos — PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) mencatatkan lonjakan hasil sebanyak 77% mencecah RM16.091 bilion bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (2QFY26) berbanding RM9.065 bilion pada suku yang sama tahun lalu.
Ia menyumbang peningkatan keuntungan bersih kumpulan bagi suku dikaji kepada RM394.04 juta, dan seiring dengan prestasi positif ini, syarikat gergasi peruncitan bahan api negara itu turut mengisytiharkan dividen interim sebanyak 25 sen sesaham biasa bagi menghargai para pemegang sahamnya.
Pencapaian kukuh hasil serta pengumuman dividen di peringkat awal ini membuktikan keupayaan kumpulan untuk terus menjana nilai pemegang saham yang tinggi di sebalik persekitaran pasaran semakin sengit.
"Bagaimanapun, di sebalik pertumbuhan itu, PDB meniti laluan penuh cabaran termasuk ketidaktentuan harga minyak mentah dunia serta perkembangan situasi geopolitik di Timur Tengah," jelasnya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Kumpulan ini juga berdepan dengan tekanan kos produk yang lebih tinggi khususnya dalam segmen runcit serta isu pengurusan aliran tunai operasi dipengaruhi oleh tempoh masa penerimaan subsidi kerajaan.
Isu pergerakan modal kerja ini memerlukan pengawasan rapi bagi memastikan kestabilan aliran tunai syarikat berkenaan tidak terjejas dalam jangka panjang.
Bagi mendepani prospek separuh kedua tahun 2026, PDB meletakkan sandaran kepada asas permintaan domestik Malaysia yang dijangka kekal menyokong aktiviti perniagaan.

"Faktor pemacu utama termasuklah perbelanjaan isi rumah yang lebih stabil, aktiviti pelancongan terus rancak, serta tahap inflasi di dalam negara masih lagi terkawal," jelasnya.
Selain itu, dasar kerajaan seperti pelaksanaan subsidi bahan api bersasar dijangka dapat mengekalkan mobiliti rakyat sekali gus menyokong aktiviti peruncitan dan permintaan bahan api.
Kembali kepada prestasi suku kedua, keuntungan sebelum cukai (PBT) kumpulan turut merekodkan lonjakan sebanyak 42% kepada RM531.11 juta berbanding RM373.88 juta pada suku tahun yang sama 2025.
Lonjakan PBT ini dipacu oleh sumbangan keuntungan kasar lebih tinggi daripada segmen komersial, dengan keuntungan boleh diagihkan kepada pemegang saham sebanyak RM387.21 juta sekali gus meningkatkan pendapatan sesaham asas (EPS) kepada 39.0 sen.
Bagi tempoh kumulatif separuh tahun berakhir 30 Jun 2026 (1HFY26), hasil PDB berkembang 50% kepada RM27.241 bilion berbanding RM18.158 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu. Prestasi kumulatif ini turut menyaksikan PBT syarikat meningkat sebanyak 18% untuk mencecah RM920.36 juta berbanding RM783.03 juta sebelum ini. Pertumbuhan sepanjang separuh tahun ini disokong kuat oleh peningkatan jumlah volum jualan sebanyak 4% yang didorong peningkatan permintaan bahan api.
"Mengikut pecahan prestasi operasi, segmen komersial muncul sebagai tunjang utama keuntungan PDB bagi suku dikaji dengan hasil melonjak 70% kepada RM7,088.5 juta. PBT mencatatkan peningkatan drastik melebihi 100% kepada RM452.4 juta berbanding RM177.8 juta suku kedua tahun lepas," katanya.
Segmen runcit mencatatkan perkembangan hasil sebanyak 85% kepada RM8,937.7 juta dipacu kenaikan harga jualan purata (ASP) 73% serta peningkatan volum jualan sebanyak 7%, namun PBT merosot 78% kepada RM36.2 juta disebabkan kenaikan kos produk yang tinggi serta peningkatan perbelanjaan operasi.
Sementara itu, perniagaan bukan bahan api di bawah segmen serbaneka terus menunjukkan daya tahan yang stabil dengan meraih hasil RM64.9 juta, mencerminkan kenaikan marginal 1%, manakala PBT mencatatkan pertumbuhan 2% kepada RM33.4 juta hasil daripada margin barangan runcit bertambah baik.
Melihat kepada kedudukan lembaran imbangan, jumlah aset PDB berkembang 14% kepada RM12.66 bilion setakat 30 Jun 2026 berbanding RM11.08 bilion pada akhir Disember 2025. Dalam masa sama, jumlah liabiliti naik 30% kepada RM6.558 bilion disebabkan peningkatan belum bayar perdagangan dan belum bayar lain.
Aliran tunai bersih yang dijana daripada aktiviti operasi adalah lebih rendah iaitu RM1.498 bilion berbanding RM2.464 bilion tahun lalu ekoran masa penerimaan subsidi kerajaan. Di tengah-tengah cabaran modal kerja ini, PDB mengekalkan komitmen yang jitu untuk memelihara kecemerlangan operasi, mengamalkan kawalan kos secara berdisiplin serta kekal tangkas dalam bertindak balas terhadap keadaan pasaran semasa. - DagangNews.com






