hamden10/08/2026 - 10:31 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Ogos - Bandar Bukit Raja (BBR) milik Sime Darby Property Bhd (SD Property) berpotensi menjadi penyumbang lebih signifikan kepada pembangunan dan pendapatan berulang kumpulan dalam tempoh sederhana, menurut TA Research.
Firma penyelidikan itu berkata, lawatan baru-baru ini ke BBR memberikan gambaran lebih jelas mengenai koridor pertumbuhan kedua Sime Darby Property serta transformasinya daripada sebuah kawasan pembangunan yang kebanyakannya berasaskan kediaman kepada ekosistem lebih pelbagai merangkumi segmen kediaman, komersial dan perindustrian.
Kata firma itu lagi, perkembangan BBR mengukuhkan pandangannya bahawa Sime Darby Property semakin beralih daripada model pembangunan berasaskan penjualan tanah kepada model yang turut menekankan pemilikan aset dan pendapatan berulang.
“Lawatan ini mengukuhkan pandangan kami terhadap pertumbuhan perindustrian dan pendapatan berulang Sime Darby Property dalam jangka sederhana.
“BBR Business Park menyediakan saluran pembangunan yang besar, manakala E-Metro Logistics Park dan platform dana membolehkan kumpulan mengembangkan portfolio yang menjana pendapatan tanpa perlu membiayai sepenuhnya aset tersebut melalui kunci kira-kira,” katanya.
Sehubungan itu, TA Research mengekalkan saranan ‘Beli’ terhadap SD Property dengan harga sasaran tidak berubah pada RM2.10.
Firma itu berkata, lawatan berkenaan melengkapi lawatan sebelum ini ke Elmina.
“Elmina menyerlahkan saluran pembangunan pusat data dan bina-untuk-sewa (build-to-lease) kumpulan yang lebih baharu, manakala BBR mencerminkan evolusi perindustriannya yang lebih panjang daripada penjualan tanah kepada kilang siap bina, penyelesaian bina-untuk-kegunaan khusus (built-to-suit) dan aset logistik institusi,” katanya dalam nota penyelidikan.
BBR yang merangkumi kawasan seluas 2,158 hektar mempunyai kira-kira 445 hektar tanah berbaki, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM14.4 bilion.
Daripada jumlah tanah berbaki itu, komponen perindustrian dan komersial menyumbang kira-kira 68%, sekali gus memberikan ruang pertumbuhan yang besar di luar segmen kediaman.
Dua elemen besar BBR iaitu BBR Business Park seluas 399 hektar dilihat sebagai pemacu pertumbuhan terdekat bagi BBR.
Pada masa sama, E-Metro Logistics Park menunjukkan keupayaan Sime Darby Property menggabungkan pelaburan sendiri dengan modal institusi bagi mempercepatkan pengembangan aset yang menjana pendapatan.
Menurut firma itu, pembangunan perindustrian SD Property di BBR telah berkembang secara berterusan sejak fasa perindustrian pertama dilancarkan pada 2011.
BBR1 memperkenalkan kilang separa berkembar, berkembar dan mampu milik yang siap dibina, manakala BBR2 menyaksikan pengembangan lebih meluas apabila kesemua 57 lot bina-untuk-kegunaan khusus habis dijual dalam tempoh sehari.
Fasa berkenaan turut menarik pelaburan RM700.5 juta bagi hab Vinda SEA sebelum menjadi asas kepada dana pembangunan perindustrian bernilai RM1 bilion bersama LOGOS Southeast Asia. - DagangNews.com





