SHAH ALAM - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan mendapatkan laporan siasatan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum mengambil sebarang tindakan, termasuk tatatertib terhadap pegawainya yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam sindiket penggodaman Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, keutamaan ketika ini adalah memberi ruang kepada SPRM melengkapkan siasatan mengikut proses perundangan yang ditetapkan.
"Siasatan baru bermula dan ia mempunyai proses perundangan yang perlu dipatuhi. Jika dituduh di mahkamah, kita akan buka kertas tatatertib untuk tahan kerja sehingga kes mahkamah selesai.
“Bagi yang tidak dituduh, jika ada bukt-bukti pelanggaran tatatertib tindakan juga akan diambil,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan SPRM dengan kerjasama JIM melaksanakan Op Crack yang membawa kepada penahanan 12 individu, termasuk dua pengarah syarikat, tiga warga asing, empat pegawai JIM, dua pegawai Bahagian Teknologi Maklumat JIM serta seorang pegawai polis.
Operasi bersepadu pada Selasa itu berjaya menumpaskan kegiatan sindiket penggodaman MyIMMs berkaitan proses permohonan serta kelulusan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara tidak sah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman dilaporkan berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 30 hingga 40-an ditahan antara 2 hingga 5 petang di Ibu Pejabat SPRM dan JIM Pulau Pinang.
Sebanyak 1,306 PLKS palsu dikeluarkan, menyebabkan kerugian kepada kerajaan dianggarkan sebanyak RM2.4 juta.






