Sindiket jual laporan polis palsu RM70, tipu e-PLKS RM150

16 Sep 2026 • 11:46 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sindiket jual laporan polis palsu RM70, tipu e-PLKS RM150

KUALA LUMPUR – Sindiket pemalsuan dokumen dikesan menawarkan laporan polis palsu serendah RM70 bagi mengaburi pihak berkuasa bagi urusan permohonan pasport antarabangsa Bangladesh.

Kegiatan itu terbongkar menerusi Ops Serkap yang dijalankan Jabatan Imigresen (JIM) secara serentak di 11 premis sekitar kawasan komersial Jalan Chan Sow Lin di sini, kelmarin.

Operasi kira-kira pukul 12.50 tengah hari itu membabitkan 40 pegawai Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya berjaya menahan 11 warga Bangladesh terdiri daripada 10 lelaki dan seorang wanita berusia antara 23 hingga 48 tahun kerana disyaki terbabit dalam kegiatan menyediakan e-Pas Lawatan Kerja Sementara (e-PLKS) yang disyaki palsu.

“Siasatan awal mendapati sindiket dipercayai menawarkan perkhidmatan menyediakan e-PLKS disyaki palsu pada kadar sekitar RM150 bagi setiap dokumen, manakala laporan polis palsu pula ditawarkan sekitar RM70 satu. Dokumen berkenaan dipercayai digunakan untuk mengaburi pihak kedutaan dalam urusan permohonan pasport antarabangsa Bangladesh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama, JIM menyita 18 komputer riba, 21 pencetak dan pengimbas, tiga telefon bimbit, 10 pasport antarabangsa Bangladesh serta sejumlah cetakan e-PLKS yang disyaki palsu.

“Beberapa laporan polis yang disyaki telah dipalsukan turut ditemukan di premis-premis berkenaan. Siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti modus operandi sindiket serta mengesan pihak lain yang mungkin terbabit,” ujarnya.

Dalam operasi sama, pemeriksaan JIM turut dijalankan di sekitar kawasan berkenaan bagi mengesan warga asing yang disyaki melakukan kesalahan imigresen.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, seramai 19 warga asing ditahan membabitkan 16 warga Bangladesh iaitu 15 lelaki dan seorang wanita, seorang wanita Myanmar serta dua wanita Indonesia.

“Kesemua yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 bagi tujuan siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta peruntukan undang-undang lain yang berkaitan,” ujarnya.

Sementara itu, Menteri Dalam negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tangkapan tersebut membuktikan bahawa kuasa pentadbiran mesti digunakan secara berani demi melindungi keselamatan negara.

Katanya, JIM tidak lagi bersikap bertahan, sebaliknya bertindak secara menyerang untuk melumpuhkan punca utama sindiket.

“Sekian lama, sindiket haram mengaut keuntungan mudah dengan memanipulasi sistem pekerja asing dan menjual pas kerja sementara. Tindakan tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja merosakkan sistem pentadbiran imigresen, malah mengancam keselamatan awam dan membuka ruang kepada pencerobohan warga asing secara haram,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Sindiket jual laporan polis palsu RM70, tipu e-PLKS RM150 appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved