SHAH ALAM - Sindiket tipu langganan video lucah, phone scam serta love scam yang berselindung di sebalik kediaman mewah di sekitar Lembah Klang dibongkar dengan tangkapan 40 individu baru-baru ini.
Operasi digerakkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, Shah Alam, Kajang dan Subang Jaya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, lima kediaman dijadikan sebagai pusat panggilan (calling centre) diserbu masing-masing di Shah Alam, Kajang, Subang Jaya dan dua di Sungai Buloh.
Menurutnya, semakan mendapati 37 tangkapan ialah warga asing, manakala tiga lagi warga tempatan.
**media[3628025]**
"Siasatan mendapati suspek direkrut sebagai operator khidmat pelanggan (customer service) dengan bayaran upah tertentu. Ada juga suspek yang masih belum menerima upah, namun sudah dijanjikan bayaran.
"Lima kes ini melibatkan sindiket berlainan yang beroperasi sejak pertengahan tahun ini dengan menyasarkan mangsa warga Taiwan, China, Jepun dan Hong Kong.
"Ada antara operator terbabit memperdaya mangsa dengan menyamar sebagai pegawai polis dari sebuah negara di Asia," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Khamis.
Shazeli berkata, pihaknya sedang menyiasat ketulenan kad polis yang digunakan suspek dan dipercayai ia antara taktik baharu sindiket bagi memperdaya mangsa.
Tambahnya, lokasi serbuan yang digunakan sindiket merupakan banglo, semi D, teres dua tingkat serta kondominium.
"Suspek warga asing terbabit dipercayai masuk ke dalam negara dengan menggunakan pas pelancong dan semakan dibuat untuk pengesahan dokumen terbabit," ujarnya.
Kata beliau, dalam serbuan terbabit, polis telah merampas pelbagai barang antaranya telefon bimbit, buku disyaki berkenaan skrip penipuan, modem, router, telefon bimbit, komputer riba serta pasport dengan nilai keseluruhan mencecah RM165,000.
Justeru, Shazeli menegaskan orang ramai untuk menyalurkan maklumat sekiranya terkesan berlaku kegiatan calling centre di kawasan kediaman serta premis perniagaan agar tindakan pembanterasan dapat dilaksanakan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan.






