Siri Cip Pemprosesan Intel Arrow Lake Refresh DIperkenalkan – Prestasi 15 Peratus Lebih Baik Berbanding Siri Sebelumnya

Technology
12 Mar 2026 • 12:06 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Setelah spekulasi dan tirisan maklumat berlaku untuk berbulan-bulan lamanya, Intel akhirnya telah melancarkan siri cip pemprosesan desktop terbaru mereka, Intel Core Ultra 200S Plus kepada khalayak umum.

Siri cip pemprosesan ini merupakan kemaskini jumlah teras dan kelajuan cip pemprosesan, dan hadir melalui tiga buah model cip pemprosesan baru, iaitu Intel Core Ultra 7 270K Plus, Intel Core Ultra 5 250K Plus dan Intel Core Ultra 5 250KF Plus yang merupakan cip Intel Core Ultra 5 250K Plus yang sama, cuma tanpa cip pemprosesan grafik terbina.

image is not available

Seperti yang kami laporkan sebelum ini, Intel Core Ultra 7 270K Plus hadir dengan gabungan 8 teras Performance dan 16 teras Efficiency, manakala Intel Core Ultra 250K Plus akan hadir dengan gabungan 6 teras Performance dan 12 teras Efficiency. Walaupun ia menyokong papan induk Intel LGA 1851 sedia ada, sokongan memori akan ditingkatkan ke penggunaan memori DDR5-7200 berbanding dengan kelajuan 6400 sebelum ini.

image is not available

Apa yang juga telah disahkan ialah kelajuan untuk P-Core Boost Frequency ataupun kelajuan maksima untuk kedua-dua cip pemprosesan ini, iaitu 5.5GHz untuk Intel Core Ultra 7 270K Plus dan 5.3GHz untuk cip pemprosesan Intel Core Ultra 5 250K Plus dan Core Ultra 5 250KF Plus.

image is not available

Intel juga mengatakan bahawa cip-cip pemprosesan ini hadir dengan peningkatan prestasi gaming sehingga 15 peratus apabila dibandingkan dengan model-model sebelumnya dalam ujian 38 jenis permainan berbeza.

image is not available

Untuk membantu proses peningkatan prestasi ini, Intel juga memperkenalkan perisian Binary Optimization Tool yang akan mempercepatkan proses binaan permainan apabila ia dimulakan.

Intel juga mengatakan bahawa cip-cip pemprosesan ini akan tiba di pasaran bermula 26 Mac 2026, pada harga $299 untuk cip Intel Core Ultra 7 270K Plus dan $199 untuk cip Intel Core Ultra 5 250K Plus.