
Pada minggu lalu, Microsoft dilihat telah meningkatkan tanda harga siri tablet Microsoft Surface Pro dan komputer riba Microsoft Surface Laptop kerana isu ketandusan bekalan memori dan storan yang dilihat masih lagi sangat mahal.

Jika anda mahu membeli sebuah komputer Surface Pro atau Surface Laptop, nasihat kami mungkin adalah untuk menunggu sehingga Microsoft membuat pengumuman tentang penawaran terbaru mereka dalam siri peranti tersebut.
Terkini, ia telah dilaporkan bahawa Microsoft akan mengumumkan siri terbaru tablet Microsoft Surface Pro dan komputer riba Microsoft Surface Laptop sekitar musim panas tahun ini, yang akan hadir dengan penawaran siri cip pemprosesan terbaru oleh Intel dan Qualcomm.

Jangkaannya ialah Microsoft akan memuatkan siri cip pemprosesan Intel Core Ultra 300 “Panther Lake” dan siri cip Qualcomm Snapdragon X2 yang terbaru pada peranti-peranti tersebut, membolehkan mereka menjadi peranti-peranti perkomputeran mudah-alih yang cukup berkuasa sekali.
Laporan-laporan ini juga mengatakan bahawa mereka akan ditawarkan dengan spesifikasi memori dan storan permulaan 16GB dan 256GB, dan akan naik sehingga konfigurasi 32GB dan 2TB. Menariknya, untuk pilihan-pilihan yang lebih premium, Microsoft juga akan menawarkan paparan skrin OLED menggantikan panel IPS untuk paparan PixelSense mereka.

Jika benar, ini dapat dilihat sebagai penaiktarafan skrin terbesar yang diperlihatkan pada siri peranti Microsoft Surface sejak ia diperkenalkan. Seperti yang dikatakan sebelum ini, Microsoft dijangka akan memperkenalkan siri peranti Microsoft Surface baru ini pada musim panas ini.





