hamden02/11/2026 - 14:48 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Nov - CTOS Digital Bhd memulihkan sepenuhnya semua perkhidmatan pelaporan kredit yang terjejas akibat insiden keselamatan siber, susulan pelaksanaan langkah pemulihan dan kawalan keselamatan tambahan.
Agensi pelaporan kredit itu berkata, perkhidmatan yang kembali beroperasi termasuk Skor CTOS dan laporan berkaitan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS), yang kini tersedia serta berfungsi seperti biasa.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Isnin, CTOS berkata pihaknya turut melaksanakan langkah tambahan bagi memperkukuh kawalan keselamatan siber, yang akan terus dipantau dan ditambah baik dari semasa ke semasa.
Menurut syarikat itu, semua persekitaran yang terjejas telah dilindungi, manakala penilaian keselamatan dan pengesahan bebas turut diselesaikan bagi menyokong pemulihan perkhidmatan.
"Syarikat memberi jaminan kepada pemegang saham, pelanggan, rakan niaga dan pihak berkepentingan lain bahawa pihaknya kekal komited untuk menjalankan perniagaan secara bertanggungjawab, telus dan mematuhi peraturan," katanya.
CTOS pertama kali mendedahkan insiden keselamatan siber itu pada 23 September lalu, dengan memaklumkan berlaku akses tanpa kebenaran dalam persekitaran yang menyokong perniagaan penggunanya.
Beberapa fail yang mengandungi sejumlah terhad maklumat pengguna telah diakses, namun syarikat tidak memperincikan jenis data peribadi yang terlibat.
Insiden beri tekanan kepada harga saham
Pada 13 Oktober lalu, kumpulan itu menganggarkan insiden berkenaan akan mengurangkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 (FY2026) sebanyak RM12 juta, selain mengurangkan hasil sebanyak RM16 juta.
Anggaran itu dibuat berdasarkan andaian bahawa beberapa perkhidmatan akan kekal tidak tersedia sehingga minggu ketiga Oktober.
Insiden berkenaan turut memberi tekanan kepada harga saham CTOS yang merosot ke paras terendah rekod 36 sen pada 19 Oktober lalu.
Bagi separuh pertama FY2026, keuntungan bersih CTOS meningkat 15.63% kepada RM41.16 juta berbanding RM35.6 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Hasil kumpulan turut berkembang 8.63% kepada RM168.46 juta daripada RM155.07 juta, disokong pertumbuhan berterusan dalam operasi domestik dan antarabangsa. - DagangNews.com




