liza10/09/2026 - 14:46 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Sept – SLGC Bhd, syarikat perkhidmatan pembinaan berpangkalan di Johor menetapkan harga tawaran awam permulaan (IPO) pada 28 sen sesaham bagi mengumpul RM29.4 juta untuk memperkukuh operasi dan mengembangkan perniagaannya.
Daripada jumlah itu, RM9.24 juta akan digunakan untuk membeli jentera pembinaan manakala RM7.56 juta diperuntukkan bagi membayar balik pinjaman bank.
Sebanyak RM7.5 juta lagi akan digunakan untuk menaik taraf perisian pengurusan pembinaan syarikat diikuti RM4.6 juta bagi keperluan modal kerja am dan RM500,000 untuk perbelanjaan penyenaraian.
Pada harga IPO 28 sen sesaham, SLGC dinilai pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) kira-kira 11.2 kali berdasarkan keuntungan sesaham (EPS) sebanyak 2.5 sen bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY2025).
Harga IPO itu memberikan kumpulan nilai pasaran sebanyak RM156.8 juta berdasarkan modal saham diperbesarkan sebanyak 560 juta saham selepas penyenaraian.
Prestasi Kewangan Dan Struktur IPO
Pada FY2025, keuntungan bersih SLGC susut kepada RM13.99 juta berbanding RM16.03 juta pada tahun sebelumnya, meskipun hasil meningkat kepada RM324 juta daripada RM229.64 juta.
Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, kumpulan mencatat keuntungan bersih RM6.01 juta daripada hasil sebanyak RM149.22 juta.
IPO SLGC merangkumi terbitan awam sebanyak 105 juta saham baharu, mewakili 18.75% daripada modal saham diperbesarkan syarikat, serta tawaran untuk jualan sebanyak 63 juta saham sedia ada atau 11.25%.
Tawaran untuk jualan itu dijangka menjana RM17.64 juta kepada pemegang saham yang menjual kepentingan mereka.
Daripada 105 juta saham baharu yang diterbitkan, sebanyak 28 juta saham ditawarkan kepada orang awam Malaysia, manakala dua juta saham diperuntukkan kepada pengarah dan pekerja syarikat yang layak.
Sebanyak 70 juta saham lagi diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri manakala baki lima juta saham ditawarkan kepada pelabur terpilih.
SLGC dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 6 Oktober 2026 dengan tempoh permohonan IPO ditutup pada 22 September 2026.
M&A Securities Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penjamin dan ejen penempatan bagi IPO tersebut. - DagangNews.com






