GB Bond sasar raih RM16 juta menerusi IPO 25 sen sesaham di Pasaran ACE

LocalBusiness & Finance
9 Sep 2026 • 12:59 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

GB Bond sasar raih RM16 juta menerusi IPO 25 sen sesaham di Pasaran ACE Image from: GB Bond sasar raih RM16 juta menerusi IPO 25 sen sesaham di Pasaran ACE liza09/09/2026 - 12:59 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 9 Sept – GB Bond Holdings Bhd menyasarkan untuk meraih RM16.08 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) pada harga 25 sen sesaham bagi membiayai pengembangan kapasiti pengeluaran dan memperluas kehadiran jualannya di Vietnam.

 

Syarikat pengeluar pelekat industri yang berpangkalan di Pulau Pinang itu akan menerbitkan 64.3 juta saham baharu menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 1 Oktober 2026.

 

Pada harga IPO itu, GB Bond akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM103.08 juta berdasarkan modal saham diperbesarkan sebanyak 412.3 juta saham.

 

Daripada hasil IPO, sebanyak RM5.5 juta atau 34.21% akan digunakan untuk menyewa kilang baharu serta membeli mesin dan peralatan bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran syarikat.

 

GB Bond merancang menyewa sebuah kilang kira-kira 40,000 kaki persegi berhampiran ibu pejabatnya di Bukit Panchor, Pulau Pinang, sebelum memasang mesin pengeluaran baharu di premis berkenaan.

 

Tingkatkan kapasiti pengeluaran

Pengembangan itu dijangka meningkatkan kapasiti tahunan pengeluaran pelekat industri itu sebanyak 35.31% kepada 31,971.3 tan daripada 23,628.9 tan ketika ini.

 

Pada masa sama, kapasiti pengeluaran bahan pengedap (sealant) dijangka meningkat tiga kali ganda kepada 1,422 tan setahun daripada 474 tan.

 

Sebanyak RM3.5 juta lagi atau 21.77% daripada hasil IPO akan diperuntukkan bagi membiayai rancangan pengembangan GB Bond ke Vietnam dalam tempoh 36 bulan akan datang.

 

Syarikat itu berhasrat mewujudkan kehadiran fizikal di Vietnam dan memperluas jualannya di negara berkenaan, yang menyumbang 4.25% kepada hasil kumpulan dalam tempoh lima bulan berakhir 31 Mei 2026.

 

GB Bond turut memperuntukkan RM1.18 juta daripada hasil IPO untuk modal kerja, RM900,000 bagi membeli peralatan untuk pembangunan formulasi produk dan RM500,000 untuk aktiviti pemasaran.

 

t

 

Pelekat industri penyumbang utama

Baki RM4.5 juta daripada hasil IPO akan digunakan untuk menampung perbelanjaan penyenaraian syarikat di Bursa Malaysia.

 

GB Bond terlibat dalam pembuatan dan penjualan pelekat industri, polimer emulsi (emulsion polymers) serta bahan pengedap (sealant).

 

Pelekat industri yang kebanyakannya berasaskan air digunakan dalam pelbagai industri termasuk kertas dan pembungkusan, pelapisan fabrik, kerja kayu, pengubahsuaian serta bahan binaan.

 

Segmen pelekat industri merupakan penyumbang utama hasil GB Bond, dengan mencatat RM48.71 juta atau 92.89% daripada jumlah hasil RM52.44 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY2025).

 

Prestasi kewangan bertambah baik

Bagi tempoh lima bulan berakhir 31 Mei 2026, segmen berkenaan menyumbang RM22.65 juta atau 93.04% daripada jumlah hasil kumpulan sebanyak RM24.35 juta.

 

Hasil GB Bond bagi tempoh tersebut meningkat 12.34% kepada RM24.35 juta daripada RM21.67 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya, manakala untung selepas cukai meningkat 17.98% kepada RM4.55 juta daripada RM3.86 juta.

 

Margin keuntungan kasar turut bertambah baik kepada 45.31% daripada 42.40%, didorong antara lain oleh peningkatan jumlah jualan, campuran produk yang lebih baik serta penyerapan kos pengilangan tetap yang lebih cekap.

 

Selain penerbitan saham baharu, IPO GB Bond turut merangkumi tawaran untuk menjual 42.88 juta saham sedia ada oleh Pengarah Urusan dan pengasas syarikat, Datuk Gooi Ching Koay, menjadikan jumlah saham yang ditawarkan sebanyak 107.18 juta.

 

Permohonan IPO dibuka 9 September 2026 dan akan ditutup pada 18 September 2026 dengan proses undian dijadualkan pada 22 September manakala penetapan dan pengagihan saham pada 29 September 2026. 

 

Malacca Securities Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO itu. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved