SOJC: Malaysia tamat penantian 15 tahun, muncul juara SOJC edisi-14

24 Oct 2026 • 10:12 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: SOJC: Malaysia tamat penantian 15 tahun, muncul juara SOJC edisi-14

JOHOR BAHRU: Skuad hoki muda negara muncul juara Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 tahun Piala Sultan Johor (SOJC) selepas menewaskan Pakistan 4-3 menerusi penentuan penalti shoot-out selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 di Stadium Hoki Johor, malam tadi.

Kemenangan tersebut membolehkan Young Tigers menamatkan penantian 15 tahun untuk kembali bergelar juara setelah memenanginya buat kali pertama pada edisi pertama, 2011.

Penjaga gol Malaysia, Adib Amsyar Mohammad Hanif bertindak cemerlang apabila menafikan dua pukulan penalti Fayyaz Hamza dan Muhammad Ammad pada penalti shoot-out itu.

Skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin itu memperagakan aksi bertenaga setelah bangkit untuk menyamakan kedudukan setelah ketinggalan dengan dua jaringan. Pada perlawanan final itu, kedua-dua pasukan mempamerkan aksi bertenaga pada suku pertama setelah masing-masing mencari gol pembukaan bagi memberi tekanan kepada lawan.

Anak didik Nor Saiful Zaini Nasiruddin dihadiahkan pukulan sudut penalti pada minit kelima namun G. Dheeressh gagal memanfaatkan peluang tersebut. Seminit berselang, giliran skuad kendalian Syed Hussain menguji kekebalan benteng pasukan tuan rumah, malangnya penjaga gol, Adib Amsyar Mohammad Hanif bertindak cemerlang menepis bola pukulan Ghulam Mustafa.

Adib Amsyar sekali lagi bertindak cemerlang apabila berada di posisi tepat menangkis pukulan Adeel Afzal pada minit ke-10 bagi memastikan gawang Malaysia tidak dibolosi.

Pada suku kedua, Pakistan semakin hampir mencipta jaringan pada minit ke-19 menerusi pukulan sudut penalti namun pukulan yang diambil Fayyaz Hamza sekadar menggegar palang gol skuad hoki remaja kebangsaan.

Bagaimanapun, gol yang diburu finalis SOJC 2016 itu akhirnya muncul pada minit ke-20 menerusi pukulan sudut penalti yang disudahkan oleh Waleed Rana menewaskan Adib Amsyar.

Pakistan terus memberi tekanan kepada Young Tigers setelah menambah jaringan tiga minit kemudian berpunca daripada larian lincah Adeel Afzal yang membuat umpanan kepada Muhammad Usman sebelum melepaskan pukulan deras ke gawang Malaysia pada minit ke-23.

Tersentak dengan jaringan itu, pasukan tuan rumah kembali mengatur gerakan dan berjaya merapatkan jurang setelah Adam Asyraf Johari menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-25.

Pada awal suku ketiga, Young Tigers dihadiahkan dua pukulan sudut penalti, bagaimanapun ia tidak dapat diterjemahkan sebaik mungkin.

Pada minit ke-38, Malaysia sekali lagi memperoleh pukulan sudut penalti namun kali ini pukulan yang dilakukan Dheeressh ditepis keluar penjaga gol, Ihtesham Muhammad. Pada penghujung suku ketiga, Adam Asyraf melakukan pukulan ke gawang lawan namun percubaan itu dinafikan Ihtesham pada minit ke-43.

Stadium Hoki Johor bergema dengan sorakan penyokong pasukan tuan rumah setelah Young Tigers menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti yang disudahkan oleh Dheeressh pada minit ke-49.

Penjaga gol Pakistan menafikan peluang terakhir Young Tigers dengan melayangkan badan untuk menepis bola pukulan Hafiezuddin Mohd Ali pada hujung permainan menyaksikan perlawanan berkesudahan 2-2 dan diheret ke penentuan penalti shoot-out.-UTUSAN

The post SOJC: Malaysia tamat penantian 15 tahun, muncul juara SOJC edisi-14 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved