SOJC: Young Tigers tamat penantian 15 tahun

24 Oct 2026 • 10:44 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: SOJC: Young Tigers tamat penantian 15 tahun

KUALA LUMPUR – Skuad hoki remaja lelaki negara akhirnya kembali menjulang kejuaraan Piala Sultan Johor (SOJC) selepas menamatkan penantian 15 tahun menerusi kemenangan dramatik ke atas Pakistan pada aksi final edisi ke-14 di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, sebentar tadi..

Anak buah Nor Saiful Zaini Nasiruddin mengesahkan gelaran juara menerusi kemenangan 4-3 dalam penentuan penalti shoot-out selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 sepanjang 60 minit permainan.

Kejayaan itu cukup bermakna buat Young Tigers yang kali terakhir menjuarai kejohanan berkenaan pada edisi sulung 2011, sekali gus mengakhiri penantian panjang untuk kembali bergelar juara di laman sendiri.

Malaysia bermula dengan beberapa peluang untuk membuka jaringan, namun gagal memanfaatkan kesempatan termasuk menerusi pukulan sudut penalti pada minit keempat apabila percubaan G Dheeressh berjaya diselamatkan penjaga gol Pakistan, Intesham Muhammad.

Pakistan kemudian mengambil kesempatan apabila Waleed Rana membuka tirai jaringan pada minit ke-19 sebelum Muhammad Usman menggandakan kelebihan untuk meletakkan lawan di depan 2-0, sekali gus memberikan tekanan kepada tuan rumah.

Bagaimanapun, Young Tigers tidak mengalah apabila Adam Asyraf Johari merapatkan jurang pada minit ke-25 menerusi pukulan sudut penalti, sebelum Dheeressh menyamakan kedudukan pada minit ke-45 untuk menghidupkan semula peluang Malaysia.

Kedudukan 2-2 kekal sehingga tamat permainan, memaksa penentuan juara dilakukan menerusi shoot-out. Ketika tekanan memuncak, penjaga gol negara, Adib Amsyar Mohammad Hanif muncul wira apabila menafikan dua percubaan Pakistan menerusi Fayyaz Hamza dan Muhammad Ammad untuk membantu Malaysia menang 4-3.

Kemenangan itu menyaksikan Young Tigers menamatkan kempen dengan kejayaan manis selepas bangkit daripada ketinggalan dua gol, sekali gus membuktikan semangat juang mereka dalam perlawanan akhir yang sengit.

Dalam aksi penentuan tempat ketiga, Jepun menewaskan Kanada 5-0 untuk mengulangi pencapaian di tempat ketiga pada edisi 2016 selepas Ryosuke Shinohara meledak hatrik, manakala Tafsuaki Yasui turut mencetak nama sebagai penjaring dalam kemenangan skuad kendalian Yoshihiro Anai itu. KOSMO! ONLINE

The post SOJC: Young Tigers tamat penantian 15 tahun appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved