liza21/09/2026 - 12:16 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Sept – Solarvest Holdings Bhd dan Samaiden Group Bhd dijangka menjadi antara syarikat yang bakal meraih manfaat daripada pelaksanaan Pakej Pemerkasaan Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) dengan projek pertama masing-masing berpotensi diperoleh dalam tempoh tiga bulan akan datang.
Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) menjangkakan aktiviti berkaitan CRESS akan menjadi lebih rancak mulai suku keempat 2026 dan berterusan ke suku pertama 2027 susulan langkah kerajaan mempercepatkan pelaksanaan skim berkenaan.
Firma penyelidikan itu berkata perkembangan itu didorong keperluan pemaju tenaga boleh baharu (RED) dan pengguna tenaga hijau (GC) untuk mempercepatkan rundingan sebelum tarikh akhir operasi projek yang ditetapkan kerajaan.
Menurutnya, projek yang mahu menikmati kadar khas Caj Akses Sistem (SAC) perlu mencapai operasi komersial sebelum 31 Disember 2028.
Keadaan itu memberi tempoh yang agak terhad kepada pemaju untuk memuktamadkan kontrak, mendapatkan pembiayaan dan memulakan pembinaan, memandangkan projek solar lazimnya mengambil masa sekitar 18 hingga 24 bulan untuk disiapkan.
CRESS buka ruang pertumbuhan baharu
HLIB menjangkakan tempoh pelaksanaan yang semakin singkat itu akan mendorong pemaju tenaga boleh baharu dan syarikat pusat data mempercepatkan rundingan serta memuktamadkan projek yang sedang dipertimbangkan.
"Jangkaan kami ialah Solarvest Holdings Bhd dan Samaiden Group Bhd akan memperoleh projek CRESS pertama mereka dalam tempoh tiga bulan akan datang," katanya dalam nota kajian hari ini.
Kerajaan sebelum ini memperkenalkan kadar SAC sebanyak 14 sen setiap kilowatt-jam bagi bekalan tenaga yang terjamin di bawah pakej itu, selain menetapkan kontrak 10 tahun antara RED dengan GC.
Bagi HLIB, model CRESS turut mempunyai kelebihan dari segi potensi pulangan kerana pemaju boleh berunding terus dengan pelanggan korporat mengenai tarif tenaga.
Ini berbeza daripada program Tenaga Solar Berskala Besar (LSS) yang menggunakan proses bidaan kompetitif, yang menurut HLIB boleh memberi tekanan kepada tarif dan pulangan projek.
Pulangan projek dijangka lebih menarik
HLIB menganggarkan projek CRESS secara umum boleh menghasilkan kadar pulangan dalaman (IRR) sekitar 9% hingga 11%, bergantung kepada beberapa faktor termasuk tempoh perjanjian pembelian tenaga, tarif yang dipersetujui, kos tanah dan pembiayaan.
Sebagai perbandingan, HLIB menganggarkan projek LSS terdahulu menghasilkan IRR sekitar 6% hingga 8%, manakala projek CRESS DayOne berpotensi mencatat IRR kira-kira 12%.
Potensi pulangan yang lebih tinggi itu dijangka meningkatkan daya tarikan CRESS kepada pemaju tenaga boleh baharu dan mendorong lebih banyak syarikat mengutamakan peluang dalam skim berkenaan.
Bagi Solarvest, HLIB menaikkan unjuran keuntungan FY27, FY28 dan FY29 masing-masing sebanyak 35.1%, 33.2% dan 33%, berdasarkan jangkaan nilai tempahan dan margin yang lebih tinggi.
HLIB mengekalkan saranan "Beli" terhadap Solarvest dan menaikkan harga sasaran kepada RM4.85 daripada RM3.59 sebelum ini.
Selain peluang mendapatkan projek CRESS pertama, HLIB melihat kerjasama Solarvest dengan Brookfield sebagai memberi akses kepada projek lebih besar, keupayaan pembangunan serta modal.
Samaiden ada tender CRESS RM3.5 bilion
Bagi Samaiden, HLIB menaikkan unjuran keuntungan FY27 dan FY28 masing-masing sebanyak 42% dan 48%, disokong terutamanya oleh jangkaan nilai tempahan yang lebih tinggi.
HLIB menyambung semula saranan "Beli" terhadap Samaiden dengan harga sasaran RM3.13 berbanding RM2.35 sebelum ini.
HLIB berkata, Samaiden mempunyai tender bernilai RM3.5 bilion, dengan kira-kira 70% daripadanya membabitkan projek CRESS, memberikan syarikat itu ruang untuk mengisi semula tempahan dalam tempoh dua tahun akan datang.
HLIB turut melihat kedudukan Solarvest yang mempunyai akses kepada tanah di sekitar kawasan pusat data utama di Johor sebagai satu kelebihan dalam menyertai peluang CRESS. - DagangNews.com





