Lelaki bergelar Datuk Seri tidak mengaku pecah amanah RM37.1 juta

LocalBusiness & Finance
14 Aug 2026 • 2:44 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Lelaki bergelar Datuk Seri tidak mengaku pecah amanah RM37.1 juta

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah terhadap wang berjumlah RM37.1 juta, empat tahun lalu.

Tertuduh, Datuk Zul Azmi Abu Hussin, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd Kafli Che Ali.

Mengikut pertuduhan, dia sebagai pengarah syarikat Xspec Resources Sdn. Bhd. telah melakukan pecah amanah terhadap wang syarikat itu berjumlah RM37.1 juta di sebuah bank di Taman Tunku, Bukit Tunku, di sini, pada 15 Februari 2022.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun dan sebatan, serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Suriatey Mohamed Yusoff tidak mencadangkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan yang dilakukan tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara, pihak pendakwaan memohon jaminan ditetapkan pada kadar RM500,000 beserta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah untuk disimpan sehingga kes selesai.

Peguam bela, Edly Mohammad Firdaus yang mewakili Zul Azmi memohon jaminan rendah ditetapkan atas alasan anak guamnya merupakan pencari nafkah tunggal dengan tanggungan isteri, lima orang anak serta ibu dan bapa yang sudah tua.

“Tertuduh mempunyai sakit kolesterol dan darah tinggi selain mempunyai seorang ibu berumur 71 tahun yang menghidap penyakit kanser dan seorang bapa berumur 82 tahun.

“Saya difahamkan bahawa tertuduh juga dimaklumkan atas pertuduhan ini pada saat akhir dan telah memberikan kerjasama. Jadi, beliau hanya dapat menyediakan sekitar RM50,000 untuk jaminan,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan Zul Azmi diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 5 Oktober ini. – UTUSAN

The post Lelaki bergelar Datuk Seri tidak mengaku pecah amanah RM37.1 juta appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved