
KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah terhadap wang berjumlah RM37.1 juta, empat tahun lalu.
Tertuduh Datuk Seri Zul Azmi Abu Hussin, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd Kafli Che Ali.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pengarah sebuah telah melakukan pecah amanah terhadap wang syarikat itu berjumlah RM37.1 juta di sebuah bank di Taman Tunku, Bukit Tunku, di sini, pada 15 Februari 2022.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun dan sebatan, serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Suriatey Mohamed Yusoff tidak mencadangkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan yang dilakukan tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun, sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara, pihak pendakwaan memohon jaminan ditetapkan pada kadar RM500,000 beserta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah untuk disimpan sehingga kes selesai.
Peguam bela, Edly Mohammad Firdaus yang mewakili Zul Azmi memohon jaminan rendah ditetapkan atas alasan anak guamnya merupakan pencari nafkah tunggal dengan tanggungan isteri, lima orang anak serta ibu dan bapa yang sudah tua.
“Tertuduh mempunyai sakit kolesterol dan darah tinggi selain mempunyai seorang ibu berumur 71 tahun yang menghidap penyakit kanser dan seorang bapa berumur 82 tahun.
“Saya difahamkan bahawa tertuduh juga dimaklumkan atas pertuduhan ini pada saat akhir dan telah memberikan kerjasama. Jadi, beliau hanya dapat menyediakan sekitar RM50,000 untuk jaminan,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan Zul Azmi diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 5 Oktober ini. – KOSMO! ONLINE
The post Datuk Seri didakwa pecah amanah RM37.1 juta appeared first on Kosmo Digital.






