
KOTA BHARU: Dua warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Thailand di Sungai Golok bersama 1,560 biji pil epam mempunyai rekod kesalahan narkotik di negara ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, ia membabitkan Seksyen 39B, 39A dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Semakan pihaknya mendapati seorang daripada suspek yang berusia 30-an turut dikehendaki polis,” katanya kepada pemberita selepas sidang media pelupusan barang kes melibatkan dadah di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, dua rakyat Malaysia ditahan polis Thailand di Sungai Kolok di sini Khamis malam, selepas pihak berkuasa menemukan 1,560 biji pil Epam (Nitrazepam) yang dipercayai dalam milikan mereka.
Ketua Polis Sungai Kolok, Kolonel Thun Sirikhunt ketika dihubungi Bernama berkata kedua-dua suspek berusia 24 dan 30 tahun dari Kelantan itu ditahan kira-kira 10.30 malam di hadapan sebuah restoran di Jalan Anukachart Usorn, pekan Sungai Kolok, hasil risikan dan maklumat orang awam.-UTUSAN
The post Dua rakyat Malaysia ditahan bersama pil epam di Thailand miliki rekod narkotik appeared first on Utusan Malaysia.






