SP Setia, Gentari teroka pemasangan pengecas EV di pembangunan terpilih

LocalCars
5 Oct 2026 • 4:13 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SP Setia, Gentari teroka pemasangan pengecas EV di pembangunan terpilih Image from: SP Setia, Gentari teroka pemasangan pengecas EV di pembangunan terpilih hamden05/10/2026 - 16:13 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Okr - S P Setia Bhd (Setia) dan Gentari menerusi anak syarikatnya Gentari Green Mobility Sdn Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk meneroka kerjasama strategik dalam penyelesaian tenaga bersih dan mobiliti hijau, termasuk potensi pemasangan kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV) di pembangunan terpilih Setia.

 

Di bawah MoU itu, kedua-dua pihak akan meneroka peluang berkaitan pengenalpastian lokasi, penilaian kebolehlaksanaan, pemasangan, operasi serta penyelenggaraan kemudahan pengecasan EV di tapak Setia yang dikenal pasti.

 

Kerjasama itu turut merangkumi usaha bersama bagi menggalakkan penggunaan EV, meningkatkan keterlihatan dan akses kepada infrastruktur pengecasan EV serta meneroka peluang kerjasama perniagaan masa hadapan dalam penyelesaian tenaga bersih dan mobiliti hijau merentasi Kumpulan Setia.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Setia, Datuk Zaini Yusoff berkata, MoU tersebut mencerminkan komitmen berterusan syarikat untuk mewujudkan komuniti mampan dan memperkaya gaya hidup menerusi pembangunan kediaman, komersial serta bandar bersepadu.

 

“Sebagai pemaju bandar dan komuniti terkemuka, Setia mempunyai tanggungjawab untuk membentuk persekitaran bersedia untuk masa depan yang membolehkan gaya hidup lebih mampan, berhubung dan selesa didiami.

 

“Menjadikan pengecasan EV lebih mudah diakses dalam kawasan bandar kita merupakan langkah praktikal untuk mempercepatkan peralihan kepada mobiliti lebih hijau, membantu mengurangkan kebergantungan kepada petrol, mengurangkan pelepasan kenderaan dan menyokong peralihan Malaysia ke arah masa depan rendah karbon,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Mobiliti Hijau Gentari, Fadzrul Ahmad berkata, kerjasama berkenaan mencerminkan hasrat bersama untuk menjadikan pengecasan EV lebih mudah diakses, praktikal dan sebahagian daripada kehidupan seharian.

 

“Di Gentari, kami komited untuk menjadi rakan ekosistem mobiliti hijau yang dipercayai dengan menyediakan kemudahan pengecasan EV yang mudah diakses dan berprestasi tinggi pada skala besar.

 

“Melalui kerjasama dengan Setia, kami meneroka bagaimana infrastruktur pengecasan boleh diintegrasikan ke dalam komuniti yang berkembang maju merentasi bandar dan pembangunan Setia, menjadikan penggunaan EV lebih praktikal dan mudah untuk penduduk serta pengunjung, sambil menyokong peralihan Malaysia ke arah masa depan rendah karbon,” katanya.

 

Gentari, yang dimiliki penuh PETRONAS, merupakan syarikat penyelesaian tenaga bersih yang beroperasi dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, hidrogen dan mobiliti hijau.

 

Menerusi portfolio tenaga boleh diperbaharui, bahan api rendah karbon dan penawaran mobiliti, Gentari membantu pelanggan memenuhi keperluan tenaga yang terus berkembang, sambil menyeimbangkan aspek keselamatan, kebolehpercayaan dan kemampuan tenaga. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved