Jati Tinggi raih kontrak RM72.84 juta pemasangan kabel kuasa pusat data di Banting

LocalBusiness & Finance
18 Sep 2026 • 5:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Jati Tinggi raih kontrak RM72.84 juta pemasangan kabel kuasa pusat data di Banting Image from: Jati Tinggi raih kontrak RM72.84 juta pemasangan kabel kuasa pusat data di Banting hamden18/09/2026 - 17:50 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 Sept - Jati Tinggi Group Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Jati Tinggi Holding Sdn Bhd (JTHSB), menerima Surat Anugerah (LOA) bernilai RM72.84 juta bagi kerja-kerja sambungan kabel kuasa 275kV untuk sebuah pusat data di Banting Technology Park (BTP), Selangor.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, JTHSB menerima LOA berkenaan pada 18 September 2026 daripada sebuah syarikat yang terlibat dalam perundingan komputer, pemprosesan data serta penyediaan infrastruktur pengehosan dan perkhidmatan pemprosesan data.

 

Kontrak itu melibatkan pelaksanaan kerja sebagai kontraktor utama bagi reka bentuk, bekalan, penghantaran, pemasangan, pengujian dan pentauliahan sambungan kabel PMU 275kV Megasteel ke Stesen Pendahuluan Pengguna No. 1 untuk pusat data berkenaan.

 

"Skop kerja merangkumi keseluruhan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi dua litar kabel kuasa bawah tanah 275kV dan kabel talian atas 275kV, termasuk menara penghantaran serta semua kerja berkaitan.

 

"Kontrak tersebut berkuat kuasa dari tarikh penerimaan LOA sehingga 15 Januari 2027," kata kenyataan itu.

 

Menurut Jati Tinggi, JTHSB perlu mengemukakan bon pelaksanaan berjumlah 5% daripada nilai kontrak dalam tempoh dua minggu selepas penganugerahan kontrak.

 

Bon berkenaan perlu sah sepanjang tempoh kontrak, tempoh liabiliti kecacatan serta tambahan tiga bulan.

 

JTHSB turut diwajibkan membeli semua insurans berkaitan kerja berkenaan sebelum kontrak bermula, termasuk Insurans Semua Risiko Kontraktor dan Pampasan Pekerja.

 

Dari segi pembayaran, tempoh pembayaran sijil ditetapkan selama 45 hari selepas JTHSB mengemukakan invois asal dan dokumen sokongan kepada majikan.

 

Sementara itu, tempoh liabiliti kecacatan ditetapkan selama 24 bulan bermula dari tarikh yang dinyatakan dalam sijil siap praktikal kerja-kerja tersebut.

 

Jati Tinggi berkata, LOA itu dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan masa depan, pendapatan sesaham dan aset bersih sesaham kumpulan sepanjang tempoh kontrak.

 

Bagaimanapun, kontrak tersebut tidak memberi kesan terhadap modal saham serta pegangan saham pemegang saham utama syarikat. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved