
KUALA LUMPUR - Seramai 1,693 pelajar daripada 14 sekolah menengah di Semenanjung Malaysia mendapat pendedahan kepada kemahiran pengurusan kewangan menerusi program JA SparktheDream anjuran FWD Malaysia dengan kerjasama JA Malaysia.
Program literasi kewangan itu dilaksanakan menerusi 14 bengkel separuh hari menggabungkan aktiviti praktikal, perbincangan dan modul pendidikan kewangan, bagi membantu pelajar memahami konsep kewangan serta membuat keputusan yang lebih bijak dalam kehidupan seharian.
Kesemua bengkel berkenaan berjaya dilaksanakan mengikut perancangan setakat 31 Ogos 2026, dengan sokongan sukarelawan daripada kalangan kakitangan FWD yang turut berinteraksi secara langsung dengan pelajar sepanjang aktiviti berlangsung.
Program berkenaan menyaksikan pendekatan pembelajaran interaktif bagi menjadikan konsep kewangan lebih mudah difahami, termasuk menerusi permainan papan pendidikan yang memperkenalkan prinsip kewangan dan menggalakkan pembentukan tabiat pengurusan wang positif sejak usia muda.
Ketua Pegawai Eksekutif FWD Malaysia, Aman Chowla berkata, literasi kewangan merupakan kemahiran hidup penting yang membantu individu membuat keputusan lebih bijak serta membina daya tahan kewangan lebih kukuh.
Beliau berkata, kerjasama dengan JA Malaysia membuka peluang kepada golongan muda untuk memperoleh pengetahuan praktikal dan keyakinan yang diperlukan bagi mengurus situasi kewangan harian.
“Dengan melabur dalam pendidikan kewangan hari ini, kami berharap dapat membantu melahirkan generasi yang lebih bersedia untuk merealisasikan aspirasi mereka dan membina masa depan yang lebih terjamin,” katanya.
Menurut FWD, inisiatif literasi kewangan yang dilaksanakan di Malaysia setakat ini telah memberi manfaat kepada lebih 8,000 pelajar di seluruh negara.
Syarikat itu menyasarkan jumlah berkenaan meningkat kepada lebih 10,000 pelajar menjelang akhir 2027, selaras dengan usaha memperluas akses kepada pendidikan kewangan dan meningkatkan tahap literasi kewangan dalam kalangan komuniti, khususnya mereka yang mempunyai akses terhad kepada peluang pembelajaran sedemikian.
Program JA SparktheDream merupakan sebahagian daripada usaha tanggungjawab komuniti FWD yang lebih luas untuk membantu individu dan komuniti meraikan kehidupan serta membina masa depan yang lebih cerah. - Getaran, 20 Oktober 2026





