SPM: Ujian mendengar, bertulis subjek BM, BI diadakan hari sama, elak calon tidak hadir

23 Nov 2026 • 10:00 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: SPM: Ujian mendengar, bertulis subjek BM, BI diadakan hari sama, elak calon tidak hadir

KUALA LUMPUR -  Bermula tahun ini, calon-calon yang mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan menduduki ujian mendengar dan peperiksaan bertulis bagi mata pelajaran Bahasa Melayu serta Bahasa Inggeris pada hari yang sama, bagi mengurangkan ketidakhadiran calon pada peperiksaan berkenaan.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, pendekatan baharu itu diambil bagi memastikan calon menduduki semua komponen peperiksaan bagi kedua-dua mata pelajaran berkenaan sekali gus mengelakkan mereka dianggap gagal hanya kerana tidak hadir bagi satu komponen.

Menurutnya, sebelum ini terdapat calon yang mengambil mudah kepentingan melengkapkan semua komponen peperiksaan apabila beranggapan prestasi baik dalam ujian bertutur atau mendengar sudah memadai untuk memperoleh keputusan yang baik.

"Tahun ini kita mula sekalikan ujian mendengar dengan ujian bertulis supaya kita dapat pastikan anak-anak kita selepas ujian mendengar, mereka terus masuk ujian bertulis.

"...antaranya memang nak elakkan murid tidak datang. Dia tidak datang satu komponen sahaja, tiga kertas dia datang, satu kertas tidak datang, dia dianggap gagal," katanya, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian selepas meninjau peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 16(1), di Putrajaya, hari ini.

Seramai 420,879 calon mendaftar dijadualkan menduduki SPM 2026 di 3,334 pusat peperiksaan seluruh negara dengan peperiksaan bertulis berlangsung dari 23 November hingga 17 Disember ini.

Mengulas lanjut, Mohd Azam berkata, berkata langkah berkenaan merupakan antara penambahbaikan berterusan KPM dalam pengurusan peperiksaan awam, selain memastikan setiap calon mendapat peluang terbaik untuk membuktikan penguasaan mereka.

Sementara itu, beliau berkata KPM turut memperkukuh persiapan menghadapi banjir dengan menempatkan calon daripada kawasan berisiko di asrama berhampiran pusat peperiksaan lebih awal, selepas mendapat persetujuan ibu bapa.

Katanya, makanan turut disediakan secara percuma kepada calon terbabit bagi memastikan mereka dapat menduduki peperiksaan tanpa gangguan.

Beliau berkata kerjasama dengan agensi berkaitan termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia juga ditingkatkan bagi menghadapi kejadian luar jangka. - 23 November, 2026

The post SPM: Ujian mendengar, bertulis subjek BM, BI diadakan hari sama, elak calon tidak hadir appeared first on Scoop.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved