SPR perlu selesai persempadanan Sarawak dalam dua tahun

LocalPolitics
1 Sep 2026 • 4:35 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: SPR perlu selesai persempadanan Sarawak dalam dua tahun

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menyiapkan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri Sarawak dalam tempoh tidak melebihi dua tahun bermula daripada tarikh notis mengenainya diwartakan.

Kajian itu melibatkan cadangan penambahan 17 kawasan pilihan raya negeri, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak meningkat daripada 82 kepada 99.

Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, kajian semula itu dilaksanakan berlandaskan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, kajian tersebut turut mengambil kira Ordinan Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 yang berkuat kuasa pada 8 Ogos tahun lalu.

“Notis berhubung Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri dalam Negeri Sarawak disiarkan dalam warta pada hari ini.

“Selaras dengan peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, SPR hendaklah menyiapkan kajian semula persempadanan dalam tempoh tidak melebihi dua tahun dari tarikh notis ini diwartakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Shahril berkata, syor kajian semula persempadanan itu dipamerkan selama sebulan bermula 1 hingga 30 September ini untuk semakan dan bantahan.

Katanya, tiada perubahan dicadangkan terhadap jumlah kawasan pilihan raya Persekutuan atau Parlimen di Sarawak.

Bagaimanapun, terdapat kawasan pilihan raya Persekutuan yang terlibat dalam semakan semula dan tersentuh oleh syor berkenaan.

Menurut beliau, pindaan nama turut dicadangkan melibatkan satu kawasan pilihan raya Persekutuan dan 10 kawasan pilihan raya negeri di Sarawak.

“Butiran syor itu disiarkan melalui warta serta akhbar Utusan Borneo dan The Borneo Post.

“Salinan syor berserta rang pelan kawasan pilihan raya Persekutuan dan negeri turut dipamerkan untuk pemeriksaan orang ramai pada waktu pejabat dan hari bekerja di lokasi yang dinyatakan dalam notis.

“Maklumat berkenaan juga boleh diperoleh menerusi pautan https://myst.spr.gov.my/,” katanya.

Tamba beliau, representasi terhadap syor yang dicadangkan boleh dikemukakan dalam tempoh sebulan selepas tarikh penyiaran notis tersebut.

Katanya, siasatan tempatan akan diadakan sekiranya bantahan diterima daripada Kerajaan Negeri Sarawak atau pihak berkuasa tempatan yang keseluruhan atau sebahagian kawasannya terlibat dengan syor berkenaan.

“Bantahan juga boleh dikemukakan oleh sekumpulan sekurang-kurangnya 100 orang yang namanya terdapat dalam daftar pemilih semasa bagi kawasan pilihan raya terlibat.

“Sebarang bantahan hendaklah dikemukakan secara bertulis kepada SPR melalui pautan sama atau dialamatkan kepada Pegawai Pilihan Raya Negeri Sarawak,” katanya.-UTUSAN

The post SPR perlu selesai persempadanan Sarawak dalam dua tahun appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved