PUTRAJAYA - Siasatan sedia digerakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya terdapat bukti berkenaan penyalahgunaan peruntukan RM180,000 kepada 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) dan dua penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada kerajaan Negeri Sembilan terdahulu sebelum pembubaran DUN negeri itu 5 Jun lalu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, pihaknya boleh menjalankan siasatan sekiranya terdapat laporan berserta bukti yang menunjukkan berlaku penyalahgunaan peruntukan atau kesalahan di bawah undang-undang SPRM.
"Buat masa ini, SPRM tidak melihat sebarang isu berhubung tindakan itu (pemberian peruntukan) kerana kerajaan yang sah mempunyai hak untuk memperkenalkan sebarang dasar atau meluluskan peruntukan selagi ia tidak bercanggah dengan undang-undang atau Perlembagaan Persekutuan.
"Kalau kerajaan itu kerajaan yang sah, tiada masalah untuk kerajaan membuat sesuatu dasar atau peruntukan, asalkan tidak bercanggah dengan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya di sini pada Rabu.
Sebelum ini, 17 ADUN PH dan dua penyelaras DUN di Negeri Sembilan diarahkan memulangkan semula sebahagian peruntukan yang diterima bagi Ogos dan September.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dilaporkan berkata, Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan berkenaan pada 3 Jun dan dana disalurkan pada 4 Jun, sehari sebelum DUN dibubarkan.
Pejabat Menteri Besar akan menghantar surat bagi menuntut pemulangan peruntukan berkenaan dalam masa terdekat dan tempoh 30 hari diberikan dari tarikh surat untuk memulangkan semula wang berkenaan.
Isu peruntukan RM180,000 yang didakwa disalurkan kepada wakil rakyat PH dan diluluskan sehari sebelum pembubaran DUN pada 5 Jun lalu, dibangkitkan ahli dewan pada Persidangan Pertama (Khas), Penggal Pertama DUN Negeri Sembilan, pada 18 Ogos lalu.
Perbahasan itu timbul susulan tular surat sumbangan kewangan untuk kesejahteraan rakyat yang diberikan kepada ADUN PH berjumlah RM180,000 untuk Julai hingga September yang dikatakan bertarikh 4 Jun lalu pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.






