
Pernahkah anda berdepan situasi di pejabat apabila seorang rakan yang sebelum ini ceria tiba-tiba berubah menjadi pendiam, mudah melenting atau seolah-olah mencari salah orang lain?
Ada juga yang gemar menyindir, mengumpat atau menyebarkan cerita yang akhirnya mengeruhkan hubungan sesama rakan sekerja. Tidak kurang juga yang membuat anda tertanya-tanya, ‘Apa sebenarnya yang sedang berlaku?’
Ramai yang beranggapan perubahan sikap seperti ini berpunca daripada masalah di rumah. Konflik dengan pasangan, tekanan kewangan, anak yang tidak sihat atau pelbagai beban kehidupan sering menjadi ‘suspek utama’.
Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr. Fauziah Mohd. Saad berkata, tekanan daripada kehidupan peribadi memang boleh memberi kesan kepada emosi dan prestasi kerja, namun ia bukan alasan untuk seseorang bertindak di luar batasan sehingga menyakiti orang lain.
Katanya, masalah rumah tangga sememangnya boleh meningkatkan tekanan psikologi, keletihan emosi dan mengganggu tumpuan seseorang ketika bekerja.
“Namun, tekanan bukan alasan untuk mengumpat, memfitnah atau membuli rakan sekerja. Tingkah laku itu lebih dipengaruhi oleh personaliti, kemahiran mengawal emosi dan budaya organisasi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam dunia psikologi, keadaan ini dikenali sebagai spillover effect atau kesan limpahan. Emosi dan tekanan daripada satu aspek kehidupan akan ‘terbawa’ ke aspek kehidupan yang lain. Jika seseorang bergelut dengan konflik rumah tangga, kemungkinan besar emosinya akan turut mempengaruhi cara dia bekerja.

TEKANAN TIDAK BOLEH JADI ALASAN
Namun, tekanan di rumah tidak semestinya menjadikan seseorang pekerja bermasalah. Ramai individu masih mampu memberikan prestasi yang baik walaupun sedang berdepan pelbagai cabaran dalam kehidupan peribadi. Bezanya ialah bagaimana mereka mengurus tekanan tersebut.
“Ada individu yang mampu memisahkan urusan kerja daripada masalah peribadi melalui kemahiran daya tindak yang baik. Mereka sedar emosi tidak boleh dibiarkan mengawal tindakan sehingga menjejaskan orang lain,” jelas Dr. Fauziah.
Sebab itulah ada pekerja yang tetap profesional walaupun sedang melalui episod sukar dalam hidup. Mereka mungkin tidak banyak bercakap, tetapi masih menghormati rakan sekerja, menyiapkan tugasan dan tidak menjadikan orang lain sebagai tempat melepaskan kemarahan.
Sebaliknya, ada juga individu yang gagal mengawal tekanan. Emosi yang dipendam akhirnya diterjemahkan dalam bentuk sindiran, kritikan melampau, gosip atau menyalahkan orang lain. Ada yang sengaja memulaukan rakan sekerja, malah tidak kurang yang menyebarkan cerita yang belum tentu benar.
MEKANISME PERTAHANAN TIDAK SIHAT
Dr. Fauziah menjelaskan, apabila seseorang gagal mengurus tekanan dengan baik, mereka mungkin menggunakan mekanisme pertahanan diri yang tidak sihat.
Antaranya ialah mencari kelemahan orang lain supaya perhatian tidak lagi tertumpu kepada masalah yang sedang dihadapi.
“Mengkritik orang lain, mengumpat atau menyebarkan khabar angin kadangkala memberi kelegaan sementara kerana individu tersebut berasa dirinya lebih baik daripada orang lain. Namun, ia tidak pernah menyelesaikan punca sebenar tekanan yang dihadapi,” katanya.
Tindakan seperti itu akhirnya hanya menambah masalah. Suasana pejabat menjadi tidak harmoni, kepercayaan sesama rakan hilang dan produktiviti seluruh pasukan turut terjejas.
Dalam masyarakat pula sering timbul persepsi wanita yang tidak bahagia dalam rumah tangga lebih gemar bergosip atau menyebarkan fitnah di tempat kerja. Tanggapan itu lebih bersifat stereotaip berbanding fakta psikologi.
“Tiada bukti psikologi yang menunjukkan wanita secara khusus lebih cenderung mengumpat atau menyebarkan fitnah kerana masalah rumah tangga.
“Tingkah laku seperti ini boleh dilakukan oleh lelaki atau wanita. Apa yang lebih mempengaruhi ialah personaliti, tahap kematangan emosi serta kemahiran mengawal tekanan,” katanya.
BERGANTUNG KEPADA PERSONALITI
Dr. Fauziah berkata, personaliti seseorang memainkan peranan penting dalam membawa imej seseorang individu.
Katanya, kajian psikologi menunjukkan individu yang mempunyai kecerdasan emosi tinggi lebih mampu mengawal kemarahan, menerima kritikan dan menyelesaikan konflik secara matang walaupun sedang berdepan tekanan.
Sebaliknya, individu yang sukar mengawal emosi, kurang empati atau mempunyai kecenderungan bermusuhan lebih mudah menunjukkan tingkah laku negatif apabila berada dalam keadaan tertekan.
“Ini bermaksud masalah rumah tangga hanyalah pencetus, bukannya punca tunggal seseorang menjadi toksik. Kita juga perlu tahu membezakan antara tekanan biasa dengan tingkah laku toksik. Tidak semua orang yang kelihatan murung atau pendiam sebenarnya bermasalah.
“Seseorang yang mengalami tekanan normal mungkin mudah letih, kurang ceria, memerlukan ruang untuk bersendirian atau prestasi kerjanya sedikit menurun. Namun, dia masih menghormati rakan sekerja dan tidak sengaja mencetuskan konflik,” katanya.
Dr. Fauziah berkata, tingkah laku toksik mempunyai corak yang berulang. Individu tersebut sentiasa mengumpat, menyebarkan fitnah, membuli, memulaukan rakan atau sengaja menjatuhkan maruah orang lain. Lama-kelamaan seluruh pasukan akan menerima kesannya.
MAJIKAN PERLU PEKA
Majikan dan rakan sekerja juga perlu lebih peka terhadap perubahan tingkah laku pekerja. Prestasi yang merosot secara mendadak, kerap lewat, banyak melakukan kesilapan, mudah marah, sering bergaduh atau mengasingkan diri mungkin menjadi petanda seseorang bergelut dengan tekanan.
“Perubahan seperti ini perlu ditangani dengan empati dan bukannya terus menghukum. Kadangkala seseorang hanya memerlukan ruang untuk didengari atau dibantu sebelum masalah menjadi lebih serius,” katanya.
Malangnya, tidak semua organisasi mempunyai budaya kerja yang sihat. Di sesetengah tempat, gosip dan fitnah dianggap perkara biasa. Ada pula budaya pilih kasih, komunikasi yang lemah atau kegagalan pihak pengurusan mengambil tindakan terhadap pembulian.
“Budaya organisasi memainkan peranan yang sangat besar. Jika kepimpinan lemah, komunikasi tidak telus dan pembulian tidak ditangani, budaya mengumpat serta menjatuhkan rakan sekerja akan lebih mudah berkembang,” katanya.
LANGKAH PENCEGAHAN
Antara langkah yang boleh diamalkan ialah menetapkan sempadan yang jelas antara urusan kerja dan kehidupan peribadi.
Luangkan sedikit masa sebelum memulakan kerja untuk menenangkan fikiran, menyusun keutamaan dan mengingatkan diri bahawa setiap orang di pejabat juga sedang membawa cabaran hidup masing-masing.
Teknik pengurusan stres seperti latihan pernafasan, bersenam, berehat secukupnya dan mendapatkan sokongan daripada pasangan, keluarga atau rakan rapat juga boleh membantu mengurangkan tekanan.
Dr. Fauziah berkata, majikan pula mempunyai tanggungjawab yang tidak kurang penting. Organisasi perlu menyediakan persekitaran kerja yang selamat, saling menghormati dan bebas daripada budaya menjatuhkan orang lain.
Katanya, Program Bantuan Pekerja (Employee Assistance Programme), perkhidmatan kaunseling, latihan kepada penyelia serta dasar yang tegas terhadap pembulian boleh menjadi antara usaha yang berkesan.

DARK TRIAD
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Jabatan Pemajuan Profesional dan Pendidikan Lanjutan Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Siti Noormi Alias berkata, budaya kerja toksik juga boleh berlaku jika ada segelintir pekerja yang terlalu berharap untuk diiktiraf dan dihargai.
Katanya, dalam dunia pekerjaan, tingkah laku tersebut bukan sekadar boleh mencetuskan rasa tidak selesa, malah berpotensi menjejaskan kepercayaan, kerjasama dan keharmonian sesebuah pasukan. Dalam psikologi personaliti, ciri berkenaan sering dikaitkan dengan konsep dark triad.
“Dark triad merujuk kepada gabungan tiga ciri personaliti iaitu narsisisme, Machiavellianisme dan psikopati. Ketiga-tiganya mempunyai karakter tersendiri, namun boleh saling berkait dalam membentuk corak tingkah laku yang mencabar apabila berada dalam persekitaran kerja.
“Namun, istilah ini tidak sepatutnya digunakan untuk melabel atau mendiagnosis seseorang sebagai mempunyai gangguan mental.
“Narsisisme, lazimnya dikaitkan dengan keinginan tinggi untuk mendapatkan pengiktirafan, rasa kepentingan diri yang berlebihan dan kesukaran menerima kritikan. Individu dengan kecenderungan ini mungkin sangat mementingkan pencapaian serta mahu sumbangan mereka sentiasa dilihat dan dihargai oleh orang lain,” katanya.
Machiavellianisme merujuk kepada kecenderungan memanipulasi orang lain atau keadaan demi kepentingan sendiri, termasuk mempengaruhi keputusan dan menyembunyikan maklumat.
Psikopati merujuk kepada ciri seperti kurang empati, kurang rasa bersalah, suka mengambil risiko dan bertindak secara impulsif. Namun, ciri ini tidak semestinya bermaksud seseorang mempunyai gangguan mental kerana setiap individu mempunyai tahap ciri personaliti yang berbeza.
Dr. Siti Norrmi berkata, masalah mula timbul apabila sifat tersebut menjadi keterlaluan sehingga digunakan untuk menjatuhkan orang lain, mengawal keadaan atau mengutamakan kepentingan diri tanpa memikirkan kesannya.
Katanya, antara petanda yang wajar diberi perhatian ialah apabila sumbangan pekerja sering tidak diiktiraf, kesalahan dialihkan kepada orang lain, fakta diputarbelitkan atau hubungan dalam pasukan dipenuhi persaingan dan konflik berterusan. Penyebaran khabar angin, komunikasi yang tidak konsisten dan usaha mendapatkan pengaruh juga boleh perlahan-lahan menghakis kepercayaan sesama rakan sekerja.
Dalam keadaan tertentu, seseorang mungkin turut berdepan tingkah laku yang sering disebut sebagai gaslighting, iaitu apabila fakta atau keadaan diputarbelitkan sehingga seseorang mula meragui persepsi dan penilaiannya sendiri.
Jika keadaan sebegini berterusan, kesannya bukan sahaja dirasai oleh individu terbabit tetapi turut boleh menjejaskan organisasi. Pekerja mungkin mengalami tekanan, hilang keyakinan, kurang berminat berkongsi idea atau memilih untuk menjauhkan diri daripada rakan sekerja.
Dalam jangka panjang, konflik interpersonal yang tidak ditangani boleh membawa kepada kemerosotan produktiviti, masalah kerjasama dan peningkatan kadar pekerja meninggalkan organisasi.
Matlamat memahami dark triad bukan untuk mencari siapa yang ‘jahat’, tetapi untuk mengenal pasti corak tingkah laku yang boleh menjejaskan tempat kerja dan mengambil tindakan lebih awal bagi mewujudkan persekitaran yang profesional, selamat serta saling menghormati.
The post Stres di rumah punca toksik di pejabat? appeared first on Utusan Malaysia.





