Sukan Asia: Azeem idam ulangi magis

13 Sep 2026 • 10:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sukan Asia: Azeem idam ulangi magis

JAGUH pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi tidak mahu ke Sukan Asia Aichi-Nagoya sekadar membawa misi ‘melakukan yang terbaik’, sebaliknya memasang impian untuk mengulangi atau memperbaiki pencapaian gangsa yang diraihnya pada edisi Hangzhou 2023.

Pelari berusia 22 tahun itu mengakui pengalaman pada penampilan sulung tiga tahun lalu memberikan keyakinan lebih tinggi kepadanya, namun enggan terlalu mendahului cabaran dengan meletakkan sasaran awal untuk mara ke pentas final terlebih dahulu.

“Saya tidak datang ke Sukan Asia kali ini dengan mentaliti hanya mahu melakukan yang terbaik. Saya mahu menyambung apa yang telah saya lakukan sebelum ini.

“Ramai tahu saya memenangi pingat gangsa yang mungkin tidak disangka pada 2023. Jadi, sasaran kali ini adalah untuk layak ke final terlebih dahulu dan itu cabaran pertama buat saya.

“Jika berjaya ke final, saya yakin mungkin perkara sama boleh berlaku atau mungkin lebih baik daripada itu,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 baru-baru ini.

Meskipun kini dilihat antara sandaran negara, Azeem masih menganggap dirinya pelari muda kerana terdapat ramai pencabar Asia yang lebih senior, berpengalaman serta memiliki pencapaian lebih besar dalam olahraga.

Selain misi individu, pemegang rekod kebangsaan 100 meter (m) itu turut memikul tanggungjawab sebagai kapten kuartet 4x100m lelaki yang kini dibarisi kelompok pelari muda dan disifatkannya sebagai permulaan era baharu acara pecut negara.

“Saya sangat teruja untuk mengetuai pasukan sebagai kapten dan tidak pernah meragui rakan sepasukan. Dengan pembentukan pasukan pecut baharu sekarang, saya yakin kita sedang menuju ke arah generasi serta era baharu acara pecut negara,” katanya.

Azeem turut melihat persiapan kontinjen negara kali ini lebih rapi berbanding edisi terdahulu dan kehadiran ramai atlet bertaraf Asia serta dunia menjadi pembakar semangat untuknya memberikan aksi terbaik di Aichi-Nagoya.

The post Sukan Asia: Azeem idam ulangi magis appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved