Sukan Asia: Azizulhasni perlu tempoh ‘bertenang’

4 Oct 2026 • 8:20 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sukan Asia: Azizulhasni perlu tempoh ‘bertenang’

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mungkin ‘mengundurkan diri’ buat seketika sebaik sahaja Kejohanan Berbasikal Trek Dunia yang akan berlangsung di Shanghai, China pada 14 hingga 18 Oktober ini berakhir.

Keadaan itu dianggap perlu bagi memastikan tahap kecergasannya kembali ke tahap terbaik selepas mengharungi jadual cukup padat sepanjang saingan musim ini, termasuk Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Bekas juara dunia keirin itu berkata, dia perlu bertahan sehingga ke kejohanan dunia bagi mengekalkan momentum selepas sudah meraih tiga pingat emas tahun ini, termasuk Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Piala Dunia.

“Saya gembira kerana berjaya meraih hatrik pingat emas setakat ini. Emas demi emas yang berjaya dituai sepanjang saingan musim ini dan sekarang saya hanya perlu bertahan sehingga kejohanan dunia.

“Kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku nanti. Saya yakin ia akan menjadi satu cabaran yang sukar untuk saya mengekalkan prestasi seperti ini, tetapi saya akan cuba kerana Shanghai akan menjadi acara kelayakan pertama untuk Sukan Olimpik,” katanya.

Terdahulu, pelumba berusia 38 tahun itu melengkapkan pingat emas ketiganya pada saingan musim ini selepas memenangi pingat emas Sukan Asia menerusi acara keirin di Velodrom Izu, Shizuoka kelmarin.

Pada masa sama, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu berharap semua pihak tidak cepat melatah seandainya dia terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk berehat bagi mengembalikan kesihatan mental dan fizikal.

“Saya harap tidak ada sesiapa yang terkejut sekiranya saya terpaksa berundur buat seketika selepas berakhirnya kejohanan dunia. Saya perlukan tempoh bertenang dan memulihkan keadaan mental serta fizikal.

“Saya perlu memberikan sepenuh fokus kepada perkara asas selain memperbaiki prestasi di dalam gimnasium. Saya mahu memastikan keadaan saya menjelang Sukan Olimpik nanti pada tahap terbaik,” ujar Azizulhasni.

 

The post Sukan Asia: Azizulhasni perlu tempoh ‘bertenang’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved