Sukan Asia: Kuartet 4x100m ada kualiti cipta kejutan

17 Sep 2026 • 8:20 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sukan Asia: Kuartet 4x100m ada kualiti cipta kejutan

KETUA jurulatih pecut kebangsaan, Thabo Matebedi percaya kuartet 4×100 meter (m) lelaki negara memiliki kemampuan untuk mencipta catatan bawah 39 saat (s) pada Sukan Asia Aichi-Nagoya sekali gus berpeluang memperbaharui rekod kebangsaan.

Keyakinan itu semakin tinggi selepas skuad negara mencatat 39.17s ketika beraksi di Oman baru-baru ini biarpun Matebedi berpandangan anak buahnya tidak menerima tekanan sebenar daripada pencabar sepanjang perlumbaan tersebut.

“Sasaran saya untuk pasukan lelaki adalah bawah 39s. Mereka berbakat, pantas dan merupakan atlet yang bagus. Mereka cuma perlu benar-benar komited dan memiliki keinginan yang cukup kuat pada hari perlumbaan.

“Mereka mencatat 39.17s di Oman, tetapi jika dilihat bagaimana perlumbaan itu berlangsung, mereka berada kira-kira 10 hingga 15m di hadapan tanpa saingan rapat. Di Sukan Asia nanti ada China dan Thailand, jadi persaingan lebih kuat dan saya fikir di bawah tekanan mereka mampu memecahkan rekod,” katanya.

Matebedi yang baru kira-kira enam minggu mengendalikan skuad pecut negara mengakui tidak melakukan perubahan drastik terhadap program latihan individu kerana tempoh terlalu singkat, sebaliknya tumpuannya lebih terarah kepada aspek pelaksanaan perlumbaan dan acara berganti-ganti.

Malah, beliau turut menaruh keyakinan terhadap peluang kuartet 4x100m campuran yang bakal menampilkan pelari utama negara termasuk Azeem Fahmi dan Danish Iftikhar dengan prestasi ketika latihan memberikan petanda positif untuk mencabar podium.

Skuad pecut negara kini menjalani kem latihan akhir di Sendai, Jepun dengan Matebedi mahu atlet memberikan sepenuh tumpuan kepada tiga perkara iaitu latihan, pemulihan dan pemakanan sebelum turun menghadapi cabaran sebenar di Aichi-Nagoya.

Sebagai rekod, catatan terbaik kebangsaan 4x100m lelaki adalah 39.03s yang dilakukan kuartet negara pada Sukan SEA Thailand 2025, manakala barisan ke Aichi-Nagoya kini mengintai pencapaian lebih pantas dengan sasaran bawah 39s.

The post Sukan Asia: Kuartet 4x100m ada kualiti cipta kejutan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved