BAM ambil pendekatan ‘mengimbau kenangan’

16 Sep 2026 • 4:38 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: BAM ambil pendekatan ‘mengimbau kenangan’

KUALA LUMPUR – Dalam usaha membakar semula semangat selain mengembalikan keyakinan pemain-pemain menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bakal mengambil pendekatan ‘mengimbau kenangan’.

Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaky berkata, barisan kejurulatihan akan berbincang dengan pemain-pemain seperti Pearly Tan, M. Thinaah dan Chen Tang Jie bagi menaikkan semula moral mereka.

Beliau menjelaskan, pihaknya akan cuba membakar semula semangat pemain-pemain itu menerusi perbincangan yang dibuat selain memaparkan rakaman video mengenai kejayaan-kejayaan mereka sebelum ini.

“Di sana nanti, kita akan cuba mengimbau semula prestasi-prestasi terbaik mereka, terutamanya Pearly-Thinaah dan Tang Jie. Ia bagi membolehkan mereka mendapatkan motivasi dan kami juga akan memperbaiki apa yang kurang.

“Untuk ‘mengimbau’ itu, mungkin akan buat menerusi perbincangan serta rakaman video supaya mereka boleh tengok semula prestasi mereka serta karakter di dalam gelanggang,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara sebelum berangkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Langkah seperti itu boleh dianggap penting memandangkan prestasi Pearly-Thinaah agak menurun sejak kebelakangan ini manakala Tang Jie bakal bergandingan dengan Cheng Su Yin di Jepun nanti.

Menurut Rexy, skuad kebangsaan juga akan menjalani latihan selama dua hari di sana sebelum acara berpasukan membuka gelanggang 20 September ini sebagai persiapan terakhir pemain-pemain negara.

“Kita sampai di sana 17 September, kita sudah menempah gelanggang latihan untuk 18 dan 19 September. Untuk 17 September, kita tengok dahulu jika ada gelanggang selain bergantung kepada pemain dan jurulatih,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

The post BAM ambil pendekatan ‘mengimbau kenangan’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved