Video kejayaan jadi pembakar semangat skuad badminton

16 Sep 2026 • 7:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Video kejayaan jadi pembakar semangat skuad badminton
Skuad badminton negara bersedia untuk berlepas ke KLIA sebelum terbang ke Jepun bagi menggalas cabaran negara pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026. Foto: Bernama

DETIK kejayaan terbaik pemain beregu negara bakal dijadikan suntikan motivasi bagi membina keyakinan skuad badminton menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan, Rexy Mainaky berkata, barisan kejurulatihan akan menggunakan rakaman video aksi terdahulu untuk mengembalikan semula keyakinan pemain terhadap kemampuan mereka.

Antara pencapaian yang bakal diimbas ialah kejayaan Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjuarai dunia pada 2022, Pearly Tan-M Thinaah muncul naib juara dunia tahun lalu serta Chen Tang Jie-Toh Ee Wei bergelar juara dunia pada tahun sama.

Namun, skuad kali ini tampil dengan gandingan berbeza apabila Aaron akan bergandingan bersama Tee Kai Wun, manakala Tang Jie dipasangkan dengan Cheng Su Yin susulan ketiadaan Wooi Yik dan Ee Wei.

Menurut Rexy, rakaman berkenaan bukan hanya untuk menilai aspek teknikal, malah membantu pemain memahami semula pemikiran dan sikap yang ditampilkan ketika berada pada prestasi terbaik.

"Kita akan lihat apa yang terbaik daripada prestasi mereka sebelum ini dan apa yang perlu diperbaiki sebagai persiapan terakhir sebelum pertandingan bermula," katanya ketika ditemui media di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada Rabu.

Beliau berkata, perhatian turut diberikan kepada reaksi pemain ketika memenangi atau kehilangan mata, termasuk cara mereka berkomunikasi serta memberi reaksi kepada pasangan.

Pendekatan itu penting bagi memastikan pemain dapat mengenal pasti semula elemen yang pernah membantu mereka beraksi cemerlang sebelum menerapkannya dalam saingan di Aichi-Nagoya.

Skuad negara dijadualkan tiba di Jepun pada Khamis sebelum menjalani latihan di gelanggang pertandingan pada 18 dan 19 September sebagai persiapan menghadapi acara berpasukan yang bermula 20 September.

Malaysia menyasarkan satu pingat perak dan satu gangsa pada temasya kali ini, namun emas turut berada dalam jangkauan jika pemain mampu mencapai prestasi terbaik.

Sebagai rekod, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong menjadi pasangan terakhir menghadiahkan emas badminton negara pada Sukan Asia Doha 2006.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved