
BEREGU wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah menyifatkan kejayaan menyumbang pingat gangsa buat kontinjen Malaysia tetap pencapaian yang positif walaupun hasrat ke final tidak kesampaian.
Gandingan ranking No. 5 dunia itu hampir meletakkan sebelah kaki ke final selepas menang set pertama sebelum tewas kepada pasangan No. 1 dunia, Liu Sheng Shu-Tan Ning 21-16, 20-22, 12-21 di Gimnasium Majlis Bandaraya Ichinomiya, Nagoya semalam.
Aksi sengit separuh akhir jelas meninggalkan sedikit rasa ralat, namun Thinaah menegaskan mereka perlu melihat gambaran lebih besar dalam usaha kekalkan momentum untuk mengharungi kejohanan akan datang.
”Ya, saya rasa ia satu perkara yang positif apabila dapat bawa balik gangsa untuk Malaysia.
Bagaimanapun, masih banyak perkara yang kami kena perbaiki dan pelajari. Kami mahu kaji semula perlawanan tadi, berbincang dan bangkit lebih kuat selepas ini,” katanya.
Mengulas mengenai kegagalan memanfaatkan peluang di set kedua dan ketiga, Pearly mengakui kelekaan di mata-mata penting menjadi pemisah antara mereka dan pihak lawan.
”Begitu hampir (untuk menang straight set), tetapi belum ada rezeki. Ketika mata-mata penting, kami kurang tenang. Mereka mampu kekalkan kelajuan permainan di set ketiga dan itu beri banyak tekanan kepada kami,” katanya Pearly.
Sebagai rekod, Pearly-Thinaah menamatkan penantian 12 tahun Malaysia untuk meraih pingat dalam acara beregu wanita di Sukan Asia selepas gandingan Vivian Hoo-Woon Khe Wei melakukannya pada edisi Incheon 2014.
The post Sukan Asia: Pearly, Thinaah akui masih bangga appeared first on Kosmo Online.





