
PETALING JAYA: Adeola Fay Robert menamatkan penantian kontinjen Malaysia apabila menuai emas pertama negara di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas menewaskan wakil Iran, Fatemehzahra Saeidabadi 6-4 dalam final kumite wanita 55 kilogram (kg) di Toyohashi Gymnasium, Aichi, sebentar tadi.
Kejayaan atlet kelahiran Sabah berusia 20 tahun itu hadir selepas Malaysia memulakan kempen sejak Sabtu lalu tanpa emas, sekali gus menjadikan Adeola sebagai penyumbang emas pertama negara pada temasya kali ini.
Adeola menampilkan ketenangan ketika berdepan Saeidabadi sebelum memastikan kemenangan 6-4 untuk mengesahkan gelaran Asia pada penampilan sulungnya di pentas Sukan Asia.
Dalam perjalanan ke final, Adeola terlebih dahulu menewaskan juara bertahan Sukan Asia Hangzhou 2022 dari Uzbekistan, Sevinch Rakhimova 8-7 pada suku akhir sebelum menundukkan wakil Kazakhstan, Bella Samasheva 5-4 dalam separuh akhir.
Emas itu turut mengangkat reputasi Adeola selepas dia sebelum ini meraih gangsa dalam acara kumite wanita 55kg pada Sukan SEA Bangkok 2025 Disember lalu, sebelum menghasilkan pencapaian terbesar dalam kariernya di Aichi-Nagoya.
Kejayaan Adeola turut mengakhiri penantian emas karate wanita Malaysia sejak Syakilla Salni muncul juara pada Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan.
Emas Adeola menyaksikan Malaysia kini mengumpul satu emas dan tiga gangsa untuk menduduki tangga ke-15 carta pingat, dengan Tan Cheong Min turut menyumbang gangsa dalam acara Nanquan-Nandao hari ini. – UTUSAN
The post Adeola tuai emas pertama Malaysia di Sukan Asia appeared first on Utusan Malaysia.






