
KUALA LUMPUR – Kontinjen negara menamatkan penantian pingat emas pertama pada temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas atlet karate, Adeola Fay Robert memenangi acara kumite bawah 55 kilogram (kg) wanita.
Pada aksi final yang berlangsung di Gimnasium Toyohashi semalam, atlet berusia 20 tahun itu menghadiahkan pingat emas sulung Malaysia selepas menewaskan pencabar dari Iran, Fatemahzahra Saeidabadi.
Walaupun diberi tentangan sengit sepanjang pertarungan itu, namun Adeola berjaya mengekalkan fokus selain mempamerkan aksi bertenaga sebelum memastikan kemenangan dengan keputusan 6-4.
Dalam laluannya ke pentas akhir, atlet kelahiran Sabah itu membenam cabaran juara bertahan dari Uzbekistan, Sevinch Rakhimova 8-7 di suku akhir sebelum menewaskan Bella Samasheva 8-7 pada aksi separuh akhir.
Kemenangan yang diraih itu akan menyaksikan Adeola mendapat ‘durian runtuh’ memandangkan Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) menjanjikan kereta Proton e.MAS kepada pemenang pingat emas di Sukan Asia.
Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas dalam sukan karate adalah pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan menerusi Syakilla Salni bagi acara kumite bawah 61kg wanita.
Pingat emas yang diraih pastinya menjadi satu pencapaian cukup baik buat Adeola selepas dia memenangi pingat gangsa dalam acara sama ketika menggalas cabaran negara pada Sukan SEA Thailand tahun lalu.
Sementara itu, turut menyumbang pingat kepada kontinjen Malaysia hari ini adalah ratu wushu negara, Tan Cheong Min yang meraih pingat gangsa menerusi acara nanquan dan nandao wanita. – KOSMO! ONLINE
The post Sukan Asia: Adeola sumbang emas pertama Malaysia appeared first on Kosmo Online.






