
PETALING JAYA: Kejayaan meraih emas dan gangsa pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 tidak membuatkan Datuk Mohd Azizulhasni Awang lupa untuk mengangkat pencapaian skuad berbasikal trek wanita negara yang disifatkannya layak menerima pujian.
Jaguh trek negara itu bangga melihat skuad pecut berpasukan wanita tampil lebih berani apabila berjaya meraih perak selepas memberi tentangan sengit kepada gergasi Asia, China, pada perlumbaan akhir, sekali gus memperbaiki pencapaian gangsa di Sukan Asia Hangzhou.
Menerusi hantaran di Instagram, Azizulhasni atau lebih mesra disapa Jijoe berkata peningkatan itu membuktikan kerja keras dan dedikasi pelumba wanita negara sepanjang menjalani persiapan membuahkan hasil.
“Selain daripada kejayaan emas dan gangsa saya di temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 tempoh hari, pujian juga harus diberikan kepada pasukan pecut berpasukan wanita negara yang mendapat pingat perak di perlumbaan akhir menentang pasukan gergasi China,” katanya.
Azizulhasni turut memberi perhatian kepada Nurul Izzah Izzati Mohd Asri yang menghadiahkan gangsa dalam acara keirin individu, terutama keberaniannya berdepan pelumba yang mempunyai kelebihan fizikal.
“Apa yang saya suka tentang Nurul Izzah adalah beliau mampu bertukar menjadi individu yang berbeza ketika berperang di medan yang besar.
“Saya memuji semangat perjuangan beliau ketika menentang pelumba-pelumba yang jauh lebih besar dan kuat dan bagaimana Nurul Izzah memberikan seluruh keringat hingga ke garisan penamat,” katanya.
Sebelum ini, pelumba negara, Izzah bersama Anis Amira Rosidi dan Nur Alyssa Mohd Farid mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih pingat perak selain memecahkan rekod kebangsaan dalam acara pecut berpasukan wanita, sekali gus memperbaiki pencapaian gangsa yang diraih Malaysia pada Hangzhou 2022. – UTUSAN
The post Azizulhasni tabik peningkatan skuad wanita appeared first on Utusan Malaysia.






