Sukan Komanwel: Misi pemburuan lima emas bermula

25 Jul 2026 • 8:10 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sukan Komanwel: Misi pemburuan lima emas bermula

MISI memburu lima pingat emas buat kontinjen negara pada Sukan Komanwel 2026 bermula secara rasmi apabila Malaysia tampil megah pada upacara pembukaan temasya di Arena Hydro, Glasgow awal pagi semalam.

Perarakan masuk kontinjen Malaysia diketuai jaguh lompat jauh para negara dan juara Paralimpik dua kali, Datuk Abdul Latif Romly yang membawa Jalur Gemilang, manakala pemain boling padang No. 1 dunia, Emma Firyana Saroji menandakan perjuangan kontinjen negara bermula.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengingatkan kontinjen negara bahawa mereka membawa harapan dan aspirasi 34 juta rakyat Malaysia pada temasya empat tahun sekali itu.

Norza mengingatkan setiap atlet supaya tidak sesekali meragui kemampuan diri kerana mereka membawa harapan dan impian jutaan rakyat Malaysia di pentas antarabangsa.

“Jangan sesekali meragui kemampuan atau sebab mengapa anda berada di sini mewakili Malaysia. Anda membawa harapan dan aspirasi 34 juta rakyat Malaysia di tanah air. Pergilah beraksi dengan keberanian dan berjuang dengan penuh maruah,” katanya.

Norza turut mengingatkan atlet supaya tidak gentar berdepan mana-mana pencabar apabila turun ke gelanggang, sebaliknya percaya kepada keupayaan masing-masing selepas berjaya melayakkan diri ke temasya terbesar negara-negara Komanwel itu.

“Jangan takut kepada lawan apabila melangkah ke gelanggang. Ingat, setiap daripada anda layak berada di sini kerana anda adalah antara wira negara,” katanya.

Kira-kira 40 atlet Malaysia menyertai perarakan berkenaan dengan mengenakan busana batik berinspirasikan Jalur Gemilang yang diserikan motif bunga raya, sekali gus mencuri perhatian ribuan penonton yang memenuhi arena berkapasiti 14,000 tempat duduk itu.

Malaysia menghantar seramai 59 atlet termasuk 22 atlet para yang akan beraksi dalam 64 acara melibatkan lapan jenis sukan daripada 10 jenis sukan dipertandingkan. Selain itu, atlet negara akan dibantu 45 pegawai sepanjang temasya yang berlangsung hingga 2 Ogos ini.

Kontinjen negara meletakkan sasaran membawa pulang lima pingat emas, dua perak dan empat gangsa menerusi acara angkat berat, berbasikal trek, boling padang, judo, powerlifting para dan olahraga para.

Sebagai rekod, pada edisi 2022 di Birmingham 2022, Malaysia berada di kedudukan ke-10 keseluruhan selepas mengumpul tujuh pingat emas, lapan perak dan lapan gangsa.

The post Sukan Komanwel: Misi pemburuan lima emas bermula appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved