Sukan Komanwel: Terbaik dalam empat edisi

4 Aug 2026 • 8:10 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sukan Komanwel: Terbaik dalam empat edisi

KONTINJEN Malaysia menutup tirai Sukan Komanwel 2026 dengan penuh bergaya apabila bukan sahaja melepasi sasaran kutipan pingat emas, malah mencatat pencapaian terbaik negara dalam empat edisi terakhir.

Malaysia menamatkan cabaran di Glasgow dengan kutipan lapan emas, sekali gus mengatasi pencapaian di Birmingham 2022, Gold Coast 2018 serta Glasgow 2014 dan dianggap pencapaian kedua terbaik kontinjen negara selepas mengumpul 12 emas pada temasya di New Delhi pada 2010.

Selain lapan emas, kontinjen negara turut membawa pulang tiga perak dan lima gangsa untuk mengumpul keseluruhan 16 pingat selepas temasya kali ini mempertandingkan jumlah sukan yang lebih sedikit berbanding edisi-edisi terdahulu.

Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia, Datuk Awalan Abdul Aziz menyifatkan pencapaian tersebut sebagai sesuatu yang membanggakan kerana ia membuktikan atlet negara terus mampu bersaing di pentas antarabangsa biarpun berdepan persaingan lebih sengit.

“Alhamdulillah, pencapaian lapan pingat emas telah melebihi sasaran. Malah, ia lebih baik berbanding tiga siri Sukan Komanwel yang lalu iaitu Birmingham 2022, Gold Coast 2018 dan Glasgow 2014 meskipun bilangan sukan kali ini dikurangkan,” katanya.

Kejayaan terbesar hadir menerusi skuad angkat berat yang muncul penyumbang utama dengan lima pingat emas, satu perak dan satu gangsa, sekali gus mencipta pencapaian bersejarah buat sukan berkenaan serta menjadi pemacu utama kejayaan kontinjen negara di Glasgow.

Dalam pada itu, Awalan yang juga merupakan presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) mengakui terselit rasa kecewa apabila skuadnya yang diletakkan antara sandaran utama gagal menghadiahkan emas buat negara.

“Tipulah kalau saya kata tidak kecewa boling padang tidak dapat membawa pulang pingat emas. Walau bagaimanapun, dua pingat perak yang dimenangi telah menepati sasaran dua pingat yang ditetapkan PLBM,” ujarnya.

Menurut beliau, pencapaian tersebut juga wajar diberikan pengiktirafan memandangkan hanya dua acara dipertandingkan kali ini iaitu perseorangan dan beregu, berbanding lebih banyak acara ketika edisi Birmingham 2022 yang menawarkan peluang pingat lebih besar.

Secara keseluruhan, pencapaian di Glasgow bukan sahaja menjadi suntikan keyakinan kepada kontinjen negara, malah mengesahkan pembangunan atlet Malaysia berada pada hala tuju yang positif menjelang misi lebih besar di Sukan Asia Tokyo 2026, September depan.

The post Sukan Komanwel: Terbaik dalam empat edisi appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved