
PETALING JAYA: Di sebalik kejayaan Malaysia membawa pulang lapan pingat emas pada Sukan Komanwel Glasgow 2026, muncul satu hakikat yang wajar diberi perhatian apabila sebahagian besar kejayaan itu lahir hasil sentuhan barisan jurulatih tempatan yang semakin menyerlah di pentas antarabangsa.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, pencapaian dalam angkat berat, berbasikal trek, judo dan boling padang membuktikan jurulatih tempatan bukan sahaja mampu melahirkan atlet bertaraf dunia, malah berupaya memimpin program kebangsaan dengan cemerlang.
“Saya sangat kagum dengan pencapaian jurulatih-jurulatih tempatan kita. Dalam angkat berat kita ada jurulatih Edmund, dalam boling padang bekas atlet kini menjadi jurulatih dan mereka sangat berdedikasi.
“Dalam sukan berbasikal trek, Harnizam telah mempamerkan kepimpinannya, manakala bagi judo jurulatih Md. Nashriq menunjukkan prestasi sangat cemerlang dengan membimbing Amir Daniel sehingga meraih pingat emas,” katanya.
Menurut Jefri, kejayaan di Glasgow seharusnya membuka lebih banyak ruang kepada jurulatih tempatan untuk menggalas tanggungjawab lebih besar kerana mereka telah membuktikan kemampuan apabila diberi kepercayaan dan sokongan sewajarnya.
“Jurulatih tempatan kita mempunyai potensi dan kepakaran sekiranya diberikan peluang serta sokongan daripada semua pihak, termasuk MSN dan persatuan sukan. Mereka perlu diberikan kepercayaan untuk menerajui barisan kejurulatihan utama dalam pasukan masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Awalan Abdul Aziz menyifatkan pencapaian lapan emas, tiga perak dan lima gangsa sebagai hasil usaha kolektif seluruh kontinjen, termasuk sistem sokongan yang membolehkan atlet memberi tumpuan sepenuhnya kepada pertandingan sehingga melepasi sasaran awal temasya.
“Alhamdulillah, kita telah melepasi sasaran bagi semua warna pingat dengan meraih lapan emas, tiga perak dan lima gangsa.
“Pencapaian ini adalah penghargaan kepada atlet yang bekerja keras. Sama ada mereka memenangi pingat ataupun tidak, semua atlet telah mencuba sedaya upaya dan memberikan yang terbaik untuk kontinjen negara,” katanya. – UTUSAN
The post Sentuhan anak tempatan di sebalik lapan emas appeared first on Utusan Malaysia.






