SUKIPT cungkil potensi atlet mahasiswa

28 Aug 2026 • 6:05 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: SUKIPT cungkil potensi atlet mahasiswa

KUALA LUMPUR: Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 bukan sekadar medan perebutan pingat, sebaliknya menjadi platform penting untuk mencungkil bakat atlet mahasiswa sebagai pelapis sukan negara.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Ahmad Rizal Adnan berkata, kejohanan itu turut menjadi medan bagi mengenal pasti potensi atlet sebelum mereka melangkah ke pertandingan pada peringkat lebih tinggi.

Menurutnya, pihak kementerian berharap atlet yang mengambil bahagian dapat mempamerkan prestasi terbaik, termasuk mencipta rekod baharu sepanjang kejohanan berlangsung.

“Dalam mana-mana penganjuran, itu antara harapan utama kita. Kita berharap daripada pelbagai rekod yang dicatatkan, para atlet dapat memberikan prestasi yang baik.

“Kejohanan ini juga menjadi persediaan untuk pertandingan yang lebih besar dan saya percaya SUKIPT mampu menjadi platform untuk melahirkan atlet ke peringkat nasional,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Perkampungan Sukan SUKIPT 2026 di sini, hari ini.

SUKIPT edisi ketujuh yang berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September menghimpunkan 8,244 atlet daripada 64 kontinjen dengan mempertandingkan 30 jenis sukan.

Ahmad Rizal berkata, penganjuran kejohanan mengikut sirkit di beberapa lokasi turut memberi peluang lebih luas kepada atlet untuk menyertai pertandingan tanpa perlu sentiasa tertumpu kepada penganjuran di Semenanjung.

“Penganjuran mengikut sirkit ini memberi peluang kepada para atlet, khususnya dari Sabah dan Sarawak, untuk turut mengambil bahagian dalam pertandingan.

“Bukan semua atlet berpeluang datang ke Semenanjung bagi menyertai kejohanan besar, justeru penganjuran di lokasi berbeza dapat membuka lebih banyak peluang kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata, sukan memainkan peranan lebih besar daripada sekadar memburu pingat dan mencatat masa terbaik.

Menurut beliau, gelanggang sukan menjadi tempat untuk membentuk ketahanan, keberanian dan kepimpinan dalam kalangan mahasiswa.

SUKIPT 2026 yang berlangsung di UM dan beberapa venue lain turut menyediakan insentif RM20,000 bagi pencapaian rekod kebangsaan sebagai galakan kepada atlet untuk meningkatkan tahap prestasi.

Kejohanan itu turut melibatkan pertandingan di beberapa lokasi lain termasuk Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT). –UTUSAN

 

The post SUKIPT cungkil potensi atlet mahasiswa appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved