Sukma 2026: Adik-beradik hadiah emas, perak buat Selangor

21 Aug 2026 • 4:08 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sukma 2026: Adik-beradik hadiah emas, perak buat Selangor

PETALING JAYA – Gandingan adik-beradik, Nur Airen Sofia Mohd Nor Aszeril dan Nia Nur Aidryana Mohd Nor Aszeril mencipta sejarah tersendiri apabila menghadiahkan pingat emas dan perak kepada Selangor dalam penampilan sulung acara BMX Flatland wanita di Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 di Xtreme Park MBPJ, hari ini.

Nur Airen Sofia, 18, muncul juara selepas mengumpul 81.67 mata, manakala adiknya, Nia Nur Aidryana meraih perak dengan 74.00 mata dan pingat gangsa menjadi milik Nur Qistina Adriana dari Wilayah Persekutuan dengan 67.67 mata.

Lebih manis, Nur Airen Sofia muncul pemenang emas pertama acara berkenaan dalam sejarah Sukma selepas BMX Flatland buat julung kali dipertandingkan pada temasya kali ini.

“Alhamdulillah, saya rasa bangga dengan diri sendiri. Terima kasih kepada jurulatih yang mengajar saya daripada tidak tahu apa-apa sehingga berjaya meraih emas untuk Selangor,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menariknya, kejayaan itu hadir selepas Nur Airen mengakui sedikit hilang keyakinan susulan adiknya pernah menewaskannya dalam satu pertandingan sebelum ini.

“Saya sebenarnya tidak menjangka menang hari ini sebab sejak kebelakangan ini saya agak sedikit kecewa. Sebelum ini ada pertandingan sebelum ini adik saya yang menang, jadi saya sedikit down,” ujarnya.

Menurutnya, persaingan dengan adiknya, Nia Nur Aidryana juga membuatkan dia lebih gementar kerana mereka saling mengetahui kekuatan dan kelemahan masing-masing.

“Saya gugup juga sebab dia pernah kalahkan saya baru-baru ini. Jadi masing-masing memang tahu kekuatan dan kelemahan masing-masing,” tambahnya.

Nur Airen berkata minatnya terhadap BMX Flatland bermula daripada bapanya yang juga pernah menyertai pertandingan besar termasuk X Games, selain pengalaman beraksi di pentas antarabangsa.

“Saya mula daripada ayah. Ayah pernah masuk X Games dan pertandingan besar di luar negara. Saya belajar semuanya daripada ayah, tetapi tiada paksaan. Saya sendiri yang minat,” katanya.

Walaupun sudah beraksi di Jepun dan China, Nur Airen masih belum pernah menaiki podium di kejohanan antarabangsa dengan pencapaian terbaiknya setakat ini ialah tempat keempat.

Kini, dia menyimpan impian untuk melihat BMX Flatland kembali dipertandingkan di Sukan SEA dan berharap mampu mempertahankan emas Selangor pada edisi Sukma akan datang di Kelantan. -KOSMO! ONLINE

The post Sukma 2026: Adik-beradik hadiah emas, perak buat Selangor appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved