Sukma 2026: Empat rekod tercipta, Farhana juara

18 Aug 2026 • 5:37 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sukma 2026: Empat rekod tercipta, Farhana juara

SERDANG – Rekod acara lontar peluru wanita bertahan selama 16 tahun akhirnya diperbaharui sebanyak empat kali dalam satu kejohanan sebelum atlet Perlis, Farhana Izurein Faizalamizul muncul pemenang pada Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026, petang ini.

Saingan sengit itu bermula apabila atlet Johor, Asyherina Kuja Anak Ujoh memadam rekod kejohanan 13.39 meter (m) milik Rahila Othman yang dilakukan pada Sukma Melaka 2010 menerusi percubaan pertamanya sebelum sekali lagi memperbaharuinya kepada 13.76m pada percubaan keempat.

Bagaimanapun, rekod tersebut tidak bertahan lama apabila Farhana melakukan lontaran sejauh 13.84m pada percubaan kelima untuk mengambil alih kedudukan teratas, sekali gus memastikan rekod kejohanan bertukar tangan buat kali ketiga sepanjang pertandingan.

Atlet berusia 20 tahun itu kemudian menutup saingan dengan penuh bergaya apabila menghasilkan lontaran terbaik 14.22m pada percubaan keenam dan terakhir, menyaksikan rekod kejohanan diperbaharui buat kali keempat pada petang penuh dramatik tersebut.

Catatan 14.22m itu yang juga kali pertama Farhana melepasi jarak 14m memastikan dia mempertahankan pingat emas dimenangi pada Sukma Sarawak 2024, sekali gus menghadiahkan penutup cukup manis dalam penampilan terakhirnya di temasya berkenaan.

Asyherina terpaksa berpuas hati dengan pingat perak menerusi catatan terbaik 13.76m, manakala wakil Sarawak, Voon Pei Ling melengkapkan podium selepas meraih gangsa dengan lontaran sejauh 12.49m. KOSMO! ONLINE

The post Sukma 2026: Empat rekod tercipta, Farhana juara appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved