
KAJANG – Reputasi sebagai wakil Malaysia ke Sukan Komanwel 2026 meletakkan badang Pahang, Muhammad Farris Haikal Kamarul di kelas berbeza pada penampilan ketiganya di Sukan Malaysia (Sukma).
Muhammad Farris nyata sukar digugat apabila raih pingat emas dalam acara lebih 110 kilogram (kg) dengan merekodkan jumlah angkatan 305kg, selepas mengangkat 135kg dalam acara snatch dan 170kg clean & jerk.
Hadir sebagai pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2025, Muhammad Farris menganggap Sukma 2026 adalah ‘pentas latihan’ buatnya sebelum mengintai peluang buru kejayaan di peringkat antarabangsa.
“Saya tidak ‘push‘ sangat sebab saya ada kecederaan lutut dan bahu, saya sekadar cari medal. Saya hanya tahan sikit, jadi kali ini saya hanya lakukan yang terbaik.
“Betul, ini jadi macam sebagai kejohanan pemanas badan saya untuk (hadapi) kejohanan akan datang. Selepas ini, saya akan cuti seminggu dan akan jalani rawatan di ISN (Institut Sukan Negara),” katanya.
Mengambil kira keadaan fizikalnya tidak berada pada kondisi terbaik, catatan direkodkan Muhammad Farris nyata masih jauh berbanding keputusan di Sukan SEA 2025, mengumpul jumlah angkatan 335kg, 145kg dalam acara snatch dan 190kg clean & jerk.
Di Sukan Komanwel, bulan lalu, Muhammad Farris menamatkan aksi kategori lebih 110kg di tempat keenam, merekodkan 142kg (snatch) dan 180kg (clean & jerk) sekali gus mengumpul angkatan keseluruhan 322kg. – KOSMO! ONLINE
The post Sukma 2026: Farris Haikal tuai emas dalam aksi ‘latihan’ appeared first on Kosmo Digital.






