
NILAI, 22 OGOS: Pelumba basikal trek Selangor, Yong Ann Tung berjaya menyumbang pingat perak bagi acara keirin wanita individu pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai, petang tadi.
Manakala, pasukan lelaki pula meraih pingat perak bagi acara pecut berpasukan lelaki selepas tewas kepada Johor pada aksi final.
Ann Tung yang mesra dipanggil Amber berkata, meskipun terlepas pingat emas, namun beliau berpuas hati dapat memperbaharui rekod peribadinya dalam acara itu.
"Walaupun tidak mendapat pingat emas, saya tetap gembira. Sasaran utama saya di sini adalah untuk memperbaharui rekod peribadi terbaik saya. Memandangkan saya berjaya mencapai sasaran tersebut, saya sangat gembira," katanya kepada Media Selangor.
Sementara itu, pasukan pecut lelaki yang diwakili oleh Muhammad Airil Mohd Akhir, Yu Jing Liang dan Adam Airiel Nazim tetap berbangga dengan pingat perak yang diraih mereka.
"Kami tetap rasa gembira. Tidak ada rasa menyesal. Kami sudah berikan yang terbaik yang apa yang kita boleh buat. Walaupun tidak dapat banyak menjalani latihan bersama, kami tetap berpuas hati dengan keputusan ini," kata Jing Liang.
Tambahnya lagi, meskipun trio mereka baru dibentuk dan kurang tempoh persediaan, kejayaan meraih kedudukan podium pada SUKMA pertama menaikkan keyakinan dan semangat mereka untuk terus kekal sebagai satu pasukan.






