
SHAH ALAM, 17 OGOS: Jurulatih polo air wanita Selangor Sarah Ann Thorp tetap bangga dengan persembahan anak buahnya meskipun terpaksa akur tewas 10-12 kepada Sarawak dalam aksi final Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 ke-22 di Pusat Akuatik Selangor, hari ini.
Menurut Sarah Ann, barisan atlet Selangor sudah memberikan segala-galanya sepanjang perlawanan akhir dan berjuang sebaik mungkin pada setiap saat permainan.
Beliau berkata semangat tidak mudah mengalah turut ditampilkan pasukannya apabila pemain terus memberikan tentangan walaupun ketinggalan.
“Apa pun keputusannya, semua pemain telah berjuang sehabis baik dan memberikan segala-galanya dan mereka cuba melakukan yang terbaik untuk setiap saat permainan dan tidak pernah berputus asa,” katanya ketika ditemui Media Selangor.
Mengulas aspek permainan yang masih boleh diperbaiki, Sarah Ann berkata pasukannya perlu terus meningkatkan kecergasan, kerjasama berpasukan serta kekuatan bagi memastikan mereka mampu muncul sebagai pasukan terbaik pada masa akan datang.

“Pasukan kami masih boleh terus memperbaiki kecergasan, kerjasama berpasukan dan kekuatan.
"Kami mahu terus meningkatkan aspek-aspek ini supaya dapat muncul sebagai pasukan terbaik pada masa akan datang,” katanya lagi.
Lebih membanggakan, Sarah Ann berkata saingan SUKMA kali ini merupakan pengalaman pertama buat semua pemainnya, selain menjadi penampilan pertama polo air wanita dalam tempoh beberapa tahun pertandingan berkenaan.
“Ini sebenarnya SUKMA pertama untuk semua pemain, kerana sudah beberapa tahun polo air wanita tidak dipertandingkan dalam kejohanan seperti ini.
"Saya sangat bangga dengan mereka kerana mampu bermain pada tahap ini dan memberikan prestasi yang begitu baik,” katanya.
Selangor menamatkan saingan polo air wanita sebagai naib juara dan membawa pulang pingat perak selepas tewas 10-12 kepada Sarawak, yang dinobatkan sebagai pemegang pingat emas.






