
SHAH ALAM, 14 OGOS: Pasukan polo air lelaki Selangor menamatkan saingan peringkat kumpulan B SUKMA ke-22 dengan bergaya selepas membelasah Sabah 54-8 di Pusat Akuatik Selangor, hari ini.
Skuad kendalian Ko Hyang Kwuaon tampil dominan sejak awal permainan apabila mendahului 18-0 pada suku pertama sebelum terus mengawal rentak perlawanan hingga tamat.
Meskipun tentangan Sabah tidak begitu mengancam, Selangor kekal fokus dan menjadikan perlawanan terakhir peringkat kumpulan itu sebagai medan memantapkan persiapan menjelang aksi separuh akhir.
Jurulatih Ko Hyang Kwuaon berkata kemenangan besar berkenaan memberi keyakinan kepada pasukannya, namun pemain perlu melupakan keputusan tersebut dan kembali memberi tumpuan kepada cabaran seterusnya.
“Kita bermain mengikut perancangan dan saya berpuas hati dengan komitmen pemain. Walaupun mendahului dengan selesa, kita tetap mahu mereka mengekalkan fokus dan disiplin sepanjang perlawanan.
“Selepas ini, kita perlu lebih bersedia kerana peringkat separuh akhir adalah perlawanan yang berbeza dan kita tidak boleh mengambil mudah lawan," katanya ketika ditemui sejurus perlawanan berakhir.
Kemenangan ke atas Sabah itu menyaksikan Selangor mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus dalam tiga perlawanan sekali gus muncul juara Kumpulan B.
Selangor sebelum ini turut mencatat kemenangan dalam dua perlawanan terdahulu bagi mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu kumpulan.
Pada peringkat separuh akhir, Selangor dijangka berdepan Negeri Sembilan yang muncul naib juara Kumpulan A dalam usaha meneruskan misi memburu pingat emas polo air lelaki pada SUKMA kali ini.





