
PENERJUN negara, Yong Rui Jie mahu menjadikan kejayaan meraih pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 sebagai suntikan keyakinan untuk meneruskan momentum terbaik menjelang penampilan sulungnya di Sukan Asia, Jepun bulan depan.
Rui Jie yang mewakili Wilayah Persekutuan menebus kekecewaan sekadar meraih perak pada Sukma Sarawak 2024 apabila mengungguli acara 3 meter (m) papan anjal lelaki dengan mengumpul 391.85 mata di Pusat Akuatik Darul Ehsan, semalam.
Dalam saingan itu, pingat perak menjadi milik penerjun Selangor, Muhammad Haris Mohd Rezal, manakala wakil Sarawak, Elvis Priestly Clement terpaksa berpuas hati dengan gangsa sekali gus gagal mempertahankan emas yang dimenanginya pada edisi lalu.
Lebih bermakna, kejayaan pada penampilan Sukma ketiga dan terakhir itu hadir tepat pada masanya ketika Rui Jie sedang mempersiapkan diri menghadapi Sukan Asia dengan penerjun negara tersebut turut menyimpan impian untuk membawa pulang pingat dari Jepun.
“Bagi saya, Sukma ini adalah persiapan untuk Sukan Asia di Jepun. Prestasi saya kali ini boleh dikatakan okey dan saya berharap dapat meneruskan momentum ini sehingga Sukan Asia.
“Acara yang akan saya sertai masih belum ditetapkan, jadi sukar untuk meletakkan sasaran secara khusus. Tetapi, sudah tentu saya mempunyai impian yang lebih besar, iaitu mahu memenangi pingat,” katanya.
Dalam pada itu, Rui Jie mengakui peningkatan prestasinya banyak dibantu jurulatih, Ooi Tze Liang yang bukan sahaja memainkan peranan penting dalam aspek latihan, malah turut memberikan sokongan dari sudut kesihatan mental bagi membantunya tampil lebih baik. – KOSMO! ONLINE
The post Sukma 2026: Rui Jie tebus kegagalan di Sarawak appeared first on Kosmo Digital.






